- Iklan -
Berita

DAP tolak cadangan untuk jaga sensitiviti Melayu, dedah Muhyiddin

Muhyiddin berkata biro politik DAP menolak cadangannya supaya tidak menjadi 'ekstrem kiri'.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mendedahkan malam tadi saranan beliau kepada biro politik DAP supaya mengambil pendekatan lebih sederhana terhadap isu-isu sensitif melibatkan orang Melayu pernah ditolak sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan. 

Katanya, beliau pernah bertemu dengan timbalan menteri pertahanan pada ketika itu, Liew Chin Tong yang juga ahli jawatankuasa tertinggi pusat DAP untuk berbincang mengenai perkara tersebut. 

Menurut Muhyiddin, Liew turut bersetuju dengan pandangannya bahawa DAP bersikap terlalu "ekstrem kiri" apabila menyentuh hal-hal seperti Perlembagaan Persekutuan, raja-raja Melayu dan institusi agama Islam. 

"Saya kata bolehkah anda pertimbangkan hal ini dan bawa balik kepada biro politik (DAP). 

"Supaya ubah dari ekstrem kiri bawalah ke tengah, sederhana sikit. 

"Dia setuju," katanya ketika berucap dalam program Jelajah Prihatin Parlimen Sepang, di Sepang, Selangor malam tadi. 

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Penerangan PN Mohamed Azmin Ali, Ketua Wanita Bersatu Rina Harun dan Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin. 

Menurut Muhyiddin, beliau mengutarakan kebimbangan tersebut selepas menyedari orang Melayu terus tidak memihak kepada DAP sedangkan parti itu juga adalah sebahagian daripada kerajaan PH yang mentadbir Putrajaya. 

Bagaimanapun kata Muhyididin, selepas beberapa ketika beliau dimaklumkan oleh Liew bahawa biro politik DAP tidak bersetuju dengan pendapat berkenaan. 

"Ini maknanya dia nak kekalkan dasar yang kita tahu tidak sesuai dengan kita sebagai perjuangan asas parti DAP yang bersekongkol dengan Anwar Ibrahim dalam PH." 

Atas sebab itu, kata Muhyididin, tidak menghairankan apabila berlaku beberapa keputusan yang tidak berpihak kepada agenda pemerkasaan orang Melayu seperti pemotongan peruntukan khas program-program melibatkan golongan Bumiputera seperti Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju). 

Sebelum ini Azmin mendedahkan menteri kewangan PH, Lim Guan Eng menyekat peruntukan kepada Teraju semasa 22 bulan mentadbir Putrajaya.

Beliau turut berkata keputusan Lim itu boleh dibuktikan kerana direkodkan secara bertulis.