- Iklan -
Berita

PH guna alasan 1MDB potong peruntukan Teraju, kata menteri PN

Abdul Latiff Ahmad berkata ia adalah jawapan yang bersifat politik.

Teoh Yee Shen
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Abdul Laatiff bercakap pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Abdul Laatiff bercakap pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) hari ini mengesahkan pendedahan Mohamed Azmin Ali berhubung pemotongan peruntukan RM400 juta untuk program pemerkasaan ekonomi Bumiputera ketika Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Putrajaya.

Latiff yang merupakan pimpinan Perikatan Nasional (PN) berkata PH memberikan alasan kerajaan menghadapi kekangan kewangan kerana terpaksa membayar hutang negara termasuk hutang 1MDB.

“(Alasan) bayar hutang 1MDB jawapan politik,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

“Jangan beri alasan-alasan begitu. Ini perkara yang melibatkan Bumiputera.”

Pada Ahad, Azmin yang merupakan bekas menteri hal ehwal ekonomi di bawah pentadbiran PH, berkata  peruntukan untuk Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju)  disekat oleh Lim Guan Eng, yang merupakan menteri kewangan ketika menguasai Putrajaya.

Beliau turut berkata keputusan Lim itu boleh dibuktikan kerana direkodkan secara bertulis.

MalaysiaNow masih berusaha menghubungi Lim untuk mendapatkan respons beliau mengenai dakwaan ini.

Sementara itu, bekas setiausaha politik Lim, Tony Pua turut melancarkan serangan terhadap Azmin, mengatakan pemimpin Bersatu itu "menggunakan pembohongan murahan untuk meningkatkan popularitinya".

Pua turut menyenaraikan beberapa  peruntukan untuk usahawan Melayu serta pembangunan Islam, walaupun beliau tidak secara khusus menjawab dakwaan mengenai pemotongan peruntukan Teraju.

"Pentadbiran PH telah berlaku adil kepada semua masyarakat dalam semangat sebenar kerajaan Malaysia - tanpa mengorbankan kepentingan mana-mana masyarakat, tidak seperti kerajaan BN atau PN yang gagal mentadbir dengan cekap," kata Pua.

Ketika ditekan mengenai isu Teraju, Pua sekadar menjawab: "Kami tak pernah sekat apa-apa pun."

Bercakap hari ini, Latiff berkata salah satu polisi dalam bajet Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) adalah sebanyak RM20 bilion bagi program pembangunan.

“Ia adalah bagi memudah cara program-program pembangunan bagi tempoh 5 tahun.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM2 bilion telah di carved-out untuk tujuan pembangunan Bumiputera. Teraju memohon sebanyak RM400 juta setahun,” katanya.

Bagaimanapun, Latiff berkata apabila PH mengambil alih pentadbiran Putrajaya, tambahnya, peruntukan tersebut “dihapuskan".

"Jika dana RM400 juta itu diberikan, banyak yang boleh dilakukan untuk usahawan Bumiputera," katanya.