- Iklan -
Berita

Guan Eng henti peruntukan program ekonomi Melayu, projek baiki jalan Felda, kata Azmin

Penyandang kerusi Gombak yang bertanggungjawab kepada Felda di bawah kerajaan PH itu berkata beliau menyuarakan bantahan terhadap keputusan Kementerian Kewangan kepada Mahathir.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi

Pemotongan peruntukan yang sepatutnya disalurkan untuk memperkasakan ekonomi Melayu termasuk projek untuk menaik taraf infrastruktur penempatan Felda adalah antara keputusan Kementerian Kewangan di bawah kerajaan Pakatan Harapan yang menyebabkan keretakan besar dalam pentadbiran ketika itu, kata pemimpin Bersatu Mohamed Azmin Ali.

Azmin yang merupakan bekas menteri hal ehwal ekonomi ketika pentadbiran PH yang turut bertanggungjawab terhadap Felda berkata  peruntukan sebanyak RM400 juta setahun yang sepatutnya disalurkan kepada Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), sebuah unit di bawah Jabatan Perdana Menteri yang ditubuhkan untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera, turut disekat oleh menteri kewangan ketika itu, Lim Guan Eng.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, keputusan itu boleh dibuktikan kerana direkodkan secara bertulis.

Terdahulu Azmin menjelaskan, dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK 10), Teraju diberikan peruntukan RM2 bilion untuk tempoh lima tahun bersamaan RM400 juta setahun untuk membantu peniaga kecil terdiri daripada kaum Melayu dan bumiputera.

Malah katanya, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018, sebanyak RM700 juta telah disalurkan kepada Teraju.

"Tetapi masuk saja PH, menteri kewangan daripada DAP mulai 2018, peruntukan untuk Melayu dan bumiputera dihentikan sama sekali," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Perikatan Nasional (PN) Gombak di Taman Pinggiran Batu Caves.

Pada 2020, peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad yang menyebabkan pentadbiran PH selama 22 bulan tumbang, Azmin dan sekumpulan ahli Parlimen dari PKR bekerjasama dengan Bersatu untuk membentuk kerajaan baru diterajui Muhyiddin Yassin selepas menerima sokongan dari Umno, GPS dan PAS.

Azmin dan lebih 10 lagi ahli Parlimen PKR dipecat oleh parti selepas perselisihan mereka dengan Anwar Ibrahim sewaktu desakan memuncak supaya presiden PKR itu dilantik sebagai perdana menteri bagi menggantikan Mahathir.

Menurut Azmin yang pada ketika itu memegang jawatan menteri hal ehwal ekonomi, bantahan ini telah disuarakan kepada Mahathir Mohamad menerusi surat, namun ia tidak tidak diendahkan oleh kerajaan PH.

Jelasnya, daripada RM400 juta yang dituntut, Guan Eng hanya memberikan RM100 juta sebagai token ketika membentangkan Bajet 2020.

"Ini satu penghinaan kepada agensi yang diberi mandat besar.

"Kalau kita mendapat RM400 juta, kita boleh bantu 200 syarikat bumiputera dan memberi manfaat kepada RM10,000 anak tempatan meliputi pelbagai bidang," katanya.

Menurut Azmin, Teraju hanya beberapa contoh agensi yang tidak diberikan pertimbangan adil dalam belanjawan yang dibentangkan ketika tempoh pentadbiran PH.

Katanya, isu seterusnya membabitkan Felda yang mana pada ketika itu, Rancangan Felda menyatakan terdapat 1,000km jalan perlu dinaik taraf.

Bagaimanapun, peruntukan yang diberikan hanya cukup untuk menaik taraf jalan sehingga 300km sahaja.

"Begitu juga dengan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas), sebuah agensi kerajaan yang menyuntik modal pasaran kepada syarikat Bumiputera untuk ambil alih syarikat strategik.

"Tetapi malangnya dana pusingan Ekuinas pun ingin diambil oleh Kementerian Kewangan dan meminta agensi itu ditutup,"

Kata Azmin, beliau terpaksa bergegas ke Pejabat Perdana Menteri untuk bentangkan dan membantah cadangan itu kerana bimbang langkah tersebut akan menjejaskan kumpulan bumiputera.

"Alhamdulillah PM pun setuju dengan cadangan saya dan kita dapat selamatkan RM2.4 bilion untuk modal tersebut," katanya.