- Iklan -
Berita

Radzi Jidin calon PN di Putrajaya

Pengumuman pencalonan menteri pendidikan itu di Putrajaya dibuat oleh Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pendidikan Radzi Jidin.
Menteri Pendidikan Radzi Jidin.

Naib Presiden Bersatu, Radzi Jidin diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini. 

Pengumuman menteri pendidikan itu sebagai calon Putrajaya dibuat Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, yang juga presiden Bersatu, pada program Jelajah Prihatin PN Parlimen Putrajaya, di Putrajaya, malam tadi.

Radzi pada PRU14 bertanding di kerusi Parlimen Ketereh namun kalah kepada Annuar Musa. Beliau kemudiannya dilantik sebagai senator pada 17 Julai 2018.

Pada PRU14, Bendahari Umno Tengku Adnan Tengku Mansor, mengekalkan kerusi Parlimen Putrajaya apabila menang dengan majoriti 3,372 undi mengalahkan calon PAS, Zainal Abidin Kidam dan calon PKR, Samsu Adabi Mamat.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengumumkan slogan PN untuk PRU15 iaitu prihatin, bersih dan stabil dengan laungan PN Best! .

“Ini tagline yang kita akan laungkan pada PRU15 dan PN Best adalah harapan kita,” katanya.

PN dianggotai Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU15 pada 19 November dengan penamaan calon pada 5 November manakala pengundian awal pada 15 November ini.