- Iklan -
Berita

Mengapa tiada tindakan terhadap Apandi, soal Dr Mahathir

Pengerusi Gerakan Tanah Air itu berkata hakim Mahkamah Tinggi menyimpulkan bekas peguam negara itu sebagai seorang penipu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali. Gambar: Bernama
Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali. Gambar: Bernama

Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan mengapa tiada tindakan yang diambil kerajaan terhadap Mohamed Apandi Ali berhubung dakwaan bersubahat dalam menutup skandal 1MDB, sebaliknya bekas peguam negara itu diberikan pampasan bernilai jutaan ringgit.

Dalam sebuah kenyataan, Mahathir berkata beliau pelik kerana Apandi melakukan pelbagai kesalahan semasa memegang jawatan itu.

“Amat pelik kenapa sehingga kini tidak ada sebarang siasatan atau tindakan diambil terhadap Apandi Ali yang jelas melakukan pelbagai kesalahan semasa dia menjadi peguam negara sebelum Tommy Thomas.

"Kesalahannya melepas Najib dari sebarang tindakan undang-undang juga jelas menunjuk Apandi terbabit di dalam menutup skandal 1MDB," katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Apandi yang secara mudah melepaskan Najib Razak sedangkan sembilan hakim sudah membuktikan bahawa bekas perdana menteri itu bersalah.

Bahkan, katanya hakim Mahkamah Tinggi Azimah Omar, dalam penghakimannya pada 23 Mei 2022 bagi menolak saman fitnah Apandi terhadap veteran DAP Lim Kit Siang, membuat kesimpulan bahawa Apandi, antara lain adalah seorang penipu dan gagal melaksanakan tugas sebagai peguam negara.

“Berikutan kenyataan Azimah, banyak laporan polis dibuat terhadap Apandi tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

“Sebaliknya Apandi diberi pampasan jutaan ringgit oleh kerajaan kerana kerajaan terdahulu menamatkan perkhidmatannya kerana dia gagal menjalankan tugasnya.

“Tidak cukup dengan pampasan, Apandi yang didapati oleh Mahkamah Tinggi sebagai seorang penipu dan perlu disiasat kerana disyaki bersubahat di dalam skandal 1MDB dilantik mengetuai jawatankuasa siasatan tuntutan Pulau Batu Puteh.”

Pada 2015, Apandi dilantik sebagai peguam negara dan berkhidmat selama tiga tahun. 

Apandi kemudiannya digantikan oleh Thomas pada 2018 di bawah pentadbiran Mahathir selepas Pakatan Harapan (PH) menerajui Putrajaya.

Dalam kenyataannya, Mahathir turut menjelaskan beliau tiada halangan siasatan dijalankan terhadap Thomas berhubung dakwaan yang dikemukakan dalam memoir kontroversinya: “My Story: Justice in the Wilderness”

“Saya tidak ada sebarang halangan terhadap siasatan yang dibuat terhadap buku yang ditulis oleh Tommy Thomas.

“Jika dirasa ada asas terhadap tuduhan yang dibuat terhadapnya ataupun sesiapa sahaja termasuk saya, undang-undang ada untuk tindakan seterusnya.”

Katanya, setiap kali beliau bersuara mengenai salah laku kerajaan, perkara mengenai pentadbirannya akan ditimbukan bagi menutup mulutnya.

“Mereka boleh cuba, tapi saya mahu ingatkan mereka bahawa selagi ada hayat, saya tidak akan bisu, buta atau tuli apabila melihat kemungkaran yang mereka lakukan.”