- Iklan -
Berita

Hampir 70,000 anggota penyelamat sedia hadapi banjir

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata jumlah itu akan ditambah sekiranya tidak mencukupi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Mangsa banjir ditempatkan di PPS  Sekolah Rendah Agama Kampung Delek ketika banjir melanda kawasan Klang, Selangor tahun lalu.
Mangsa banjir ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Agama Kampung Delek ketika banjir melanda kawasan Klang, Selangor tahun lalu.

Seramai 69,235 anggota keselamatan dan penyelamat di seluruh negara sedia dikerahkan untuk menghadapi bencana banjir, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata jumlah berkenaan merangkumi polis seramai 21,018, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (18,511), Jabatan Bomba dan Penyelamat (14,829,) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) (10,510) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) (4,367).

“Jumlah berkenaan akan ditambah sekiranya ia tidak mencukupi.

“Untuk banjir pihak PDRM telah bersedia...bukan setakat PDRM tetapi bersama agensi-agensi lain di bawah KDN (Kementerian Dalam Negeri) seperti Rela, selain APM dan ATM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas selepas taklimat Pilihan Raya Umum ke-15 dan monsun timur laut 2022 di Bukit Aman, hari ini.

Mengenai persiapan logistik menghadapi bencana banjir, perdana menteri berkata 1,816 bot polis, kenderaan pacuan empat roda (1,810), lori (1,596), 19 aset udara dan lain-lain aset udara akan terlibat untuk operasi banjir.

“Kalau kita lihat monsun (timur laut) ini mungkin berlaku di Pahang atau Kelantan dan Terengganu walaupun kadang-kadang berlaku di barat seperti di Selangor tetapi ia tidaklah berlaku serentak di seluruh Malaysia. Kita harap tidaklah (berlaku banjir besar) seperti biasa.

“Kalau banjir berlaku di kawasan dan negeri-negeri tertentu, anggota yang digerakkan pada kali ini mencukupi untuk menjaga kepentingan rakyat terutamanya yang terlibat pada waktu banjir,” katanya.

Mengulas mengenai sekiranya berlaku banjir luar biasa di seluruh negara, Ismail Sabri berkata jumlah keanggotaan akan ditambah mengikut keperluan.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dan timbalannya, Razarudin Husain.