- Iklan -
Berita

Gelar PAS ‘parti pak lebai’ tidak hina buat kami, kata timbalan MB Kelantan

Menurut Mohd Amar Nik Abdullah, gelaran 'penyamun politik' lebih menghinakan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah. Gambar: Bernama
Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah. Gambar: Bernama

Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan tiada yang hina dengan gelaran “pak lebai" terhadap parti itu berbanding digelar "penyamun politik" oleh pengundi dan rakyat, membidas kenyataan sinis Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Amar berkata sejak sekian lama PAS dianggap sebagai parti kampung sehingga dipandang rendah pada mata banyak pihak. 

"Dan sehari dua ini ada pemimpin sebuah parti kata PAS ni tok lebai lagi. 

"Bagi kita gelaran pak lebai bukan gelaran yang hina," katanya ketika berucap dalam satu majlis di Kota Bharu, malam tadi. 

Walaupun tidak menamakan mana-mana pihak, ucapan Amar dipercayai merujuk kenyataan Zahid minggu lalu yang menegaskan pihaknya tidak akan mengadakan sebarang rundingan dengan PAS. 

Zahid dilaporkan berkata, parti ‘pak lebai' itu dilihat tidak mempunyai pendirian yang tetap dalam membentuk kerjasama politik.

“Kita jangan pedulikan pak lebai bersama kita (BN) atau tidak, pak lebai petang cakap lain, malam cakap lain,” katanya.

Dalam pada itu, Amar berkata walaupun dihina dengan gelaran tersebut PAS tetap berjaya mentadbir Kelantan selama lebih tiga dekad. 

Bahkan, PAS yakin ia berupaya memacu perubahan politik negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), katanya. 

"Dan memastikan kerajaan baru yang lebih baik, adil dan amanah juga bertanggungjawab daripada kerajaan BN atau PH." 

Mengulas lanjut, Amar menegaskan parti itu juga mempunyai rekod dan pencapaian yang baik sepanjang 32 tahun mentadbir Kelantan. 

Katanya, pemimpin kerajaan negeri dan PAS tidak pernah dihadapkan ke mahkamah kerana kes rasuah. 

"32 tahun bukan tahun yang pendek. Kuasa (menjadi kerajaan) ini boleh menggoda," katanya. 

Pada Khamis, Suruhanjaya Pilihan Raya (SR) menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU15. 

Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November 2022.