- Iklan -
Berita

Bersatu gesa Anwar, PKR nyatakan pendirian tentang Israel

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu turut menggesa PKR untuk menyiasat sejauh mana terdapat penyerapan elemen pro-Israel ke dalam penyokong ataupun keanggotaan mereka.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar ini menunjukkan Nidarahayu Zainal dan suaminya Raibafie Amdan menyertai sebuah acara di luar negara bersama bendera PKR. PKR berkata pasangan itu bukan ahli atau mempunyai kaitan dengan parti.
Gambar ini menunjukkan Nidarahayu Zainal dan suaminya Raibafie Amdan menyertai sebuah acara di luar negara bersama bendera PKR. PKR berkata pasangan itu bukan ahli atau mempunyai kaitan dengan parti.

Bersatu menggesa Presiden PKR Anwar Ibrahim menyatakan pendirian berhubung Israel selepas dua daripada 11 orang yang didakwa baru-baru ini kerana disyaki bekerja dengan Mossad dilihat bergambar mengibarkan bendera PKR.

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu turut menggesa PKR untuk menyiasat sejauh mana terdapat penyerapan elemen pro-Israel ke dalam penyokong ataupun keanggotaan mereka.

“PKR dan Pakatan Harapan (PH) tidak wajar terus berdiam mengenai isu penting ini yang melibatkan keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mempersoalkan PKR kerana “defensif” berhubung perkara ini, mengatakan penafian ringkas ketua penerangannya, Fahmi Fadzil bahawa pasangan yang juga suami isteri itu sebagai ahli parti adalah tidak mencukupi.

Katanya, kebimbangan lebih besar adalah sama ada terdapat penyerapan elemen yang menyokong Zionis ke dalam PKR dan PH.

“Ini membawa balik kepada persoalan besar, apakah sebenarnya pendirian Anwar dan PH terhadap rejim Zionis Israel?” soal Faizal.

Pada 11 Oktober, 11 individu didakwa kerana menculik Omar ZM Albelbaisy Raeda, pereka program komputer yang dipercayai Israel bekerja untuk Hamas.

The New Straits Times melaporkan sekumpulan rakyat Malaysia dipercayai diupah Mossad untuk menghalang Omar dan rakyat Palestin lain di Kuala Lumpur hujung bulan lalu dalam sebuah insiden seakan-akan seperti pembunuhan seorang aktivis Palestin empat tahun lalu.

Polis kemudiannya mengesan penculik di sebuah chalet di Kuala Langat, Selangor, di mana  sesi penyeksaan dan soal siasat dijalankan sebelum membebaskan rakyat Palestin itu dan menahan 11 individu.

Insiden ini menimbulkan kebimbangan  agen-agen Mossad sudah berada dalam negara dan menggunakan rakyat Malaysia untuk operasinya.

Beberapa hari selepas pendedahan itu, tersebar gambar di media sosial menunjukkan suspek, rakyat Malaysia bernama Raibafie Amdan mengibarkan bendera PKR.

Gambar itu dimuat naik isterinya, Nidarahayu Zainal yang turut didakwa kerana menculik.

PKR segera menjarakkan diri daripada pasangan itu, mengatakan ia tiada kaitan dengan parti dan merupakan "tindakan dan pilihan individu terbabit."

Kenyataan Anwar pada 2012 berhubung Israel

Ini bukan kali pertama Anwar dikecam kerana pendiriannya mengenai konflik Palestin, di mana isu itu mempunyai sentimen yang kuat dalam kalangan masyarakat Islam Malaysia.

Pada 2012, Khairy Jamaluddin yang merupakan ketua Pemuda Umno ketika itu menyelar Anwar di Parlimen berhubung kenyataan ketua pembangkang itu yang menyatakan beliau akan "menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel", dalam kenyataan yang diterbitkan The Wall Street Journal.

"Adakah Anwar masih berpendirian bahawa beliau akan menyokong kesemua ikhtiar untuk membela keselamatan negara Zionis Israel itu daripada apa-apa ancaman keselamatan?" soal Faizal.

Beliau juga turut menyentuh sebuah cadangan yang pernah disuarakan senator DAP pada 2019 supaya Malaysia menubuhkan kedutaan di Israel. 

Ekoran kenyataan kontroversinya, Nga Hock Cheh memohon maaf dan berkata ia dibuat "dengan tujuan membantu Palestin mencapai keamanan”.

Faizal berkata pendirian Anwar terhadap Israel adalah serius kerana beliau adalah calon perdana menteri untuk PH pada pilihan raya akan datang.

"Adakah beliau sedia menarik balik kenyataan beliau tersebut serta berjanji kepada rakyat tidak akan berkompromi dengan Israel?" soal Faizal lagi.