- Iklan -
Berita

Warisan akan bertanding 3 kerusi Parlimen di Perlis

Parti yang dipimpin Mohd Shafie Apdal itu juga akan bertanding di enam kerusi DUN.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Penyokong Warisan memacakkan bendera parti itu ketika tempoh kempen Pilihan Raya Negeri Sabah pada 2020.
Penyokong Warisan memacakkan bendera parti itu ketika tempoh kempen Pilihan Raya Negeri Sabah pada 2020.

Warisan akan bertanding di kesemua tiga kerusi Parlimen, dan enam daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusi Warisan Perlis Abdul A'zib Saad.

Beliau berkata Warisan akan bertanding di semua kerusi Parlimen iaitu Arau, Padang Besar dan Kangar, manakala enam kerusi DUN yang bakal ditandingi akan diumumkan setelah mendapat persetujuaan daripada Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal.

“Senarai nama calon telah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti dan akan diumumkan dalam masa dua atau tiga hari lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini, serta memberi bayangan dua calon DUN yang ditampilkan adalah anak muda tempatan berumur di bawah 30 tahun.

Warisan dilancarkan di Perlis pada Jun lepas oleh Shafie, dan PRU15 merupakan kali pertama bagi parti yang diasaskan di Sabah itu bertanding di Perlis.

Perlis mempunyai 15 kerusi DUN. Sebelum pembubaran DUN penggal ke-14 pada 14 Oktober, 10 kerusi diwakili Barisan Nasional (BN), tiga PKR dan dua PAS.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai tarikh pengundian bagi PRU15, penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November.