- Iklan -
Berita

Mavcom akan kawal selia harga tiket penerbangan menjelang PRU15

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata Mavcom akan mengambil tindakan sekiranya syarikat penerbangan didapati menaikkan harga tidak mengikut syarat ditetapkan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Penumpang beratur di kaunter tiket klia2, Sepang dalam gambar fail.
Penumpang beratur di kaunter tiket klia2, Sepang dalam gambar fail.

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) akan mengawal selia harga tiket, supaya syarikat penerbangan tidak meningkatkan harga sewenang-wenangnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata walaupun harga tiket penerbangan, secara lazimnya akan meningkat mengikut mekanisme harga dinamik jika terdapat sesuatu peristiwa melibatkan pergerakan orang ramai, Mavcom akan mengambil tindakan sekiranya syarikat penerbangan didapati menaikkan harga tidak mengikut syarat ditetapkan.

“Mengikut mekanisme harga dinamik yang mana-mana syarikat penerbangan dalam dunia tetapkan, lebih awal (tiket) ditempah, ia murah dan lebih dekat dengan satu tarikh atau peristiwa, harga akan menjadi lebih tinggi,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran aplikasi Taxi4U di Pejabat Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) Wilayah Tengah di Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan harga tiket penerbangan naik dua kali ganda susulan pengumuman tarikh hari mengundi bagi PRU15.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 November, penamaan calon pada 5 November dan  pengundian awal pada 15 November.

Dalam pada itu, Wee memaklumkan kementeriannya akan menjalankan kajian untuk memperkasakan perkhidmatan teksi dan e-hailing pada tahun hadapan, dalam usaha menambah baik kawal selia kedua-dua perkhidmatan itu.

Beliau berkata kajian tersebut juga akan meneliti solusi untuk menangani perkara dibangkitkan pemain industri teksi dan e-hailing, seperti perkongsian pasaran dan kaedah penentuan harga tambang yang adil bagi kedua-dua perkhidmatan itu.

“Kawal selia kedua-dua industri ini adalah penting, memandangkan kini lebih 96,000 kenderaan bergiat aktif dalam industri itu, dengan 88,185 adalah kenderaan persendirian dan 7,833 kenderaan teksi,” katanya.

Menurutnya, kajian itu akan diterajui Apad dengan kerjasama Institut Pengangkutan Malaysia.

Sementara itu, Wee berkata Apad dan Jabatan Pengangkutan Jalan sedang melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap sebuah syarikat e-hailing, yang didapati masih menjalankan operasi walaupun lesen syarikat itu telah tamat tempoh.

“Mana-mana syarikat yang disyaki menjalankan aktiviti e-hailing tanpa mengikut syarat lesen akan diminta memberi penjelasan...perkara ini dilakukan bagi memastikan perkhidmatan yang selamat dapat disediakan kepada penumpang,” katanya.