- Iklan -
Berita

Tiada rundingan dengan parti 'lebai' selepas PRU15, kata Zahid

Pengerusi BN menyifatkan parti berkenaan sebuah parti yang tiada pendirian tetap.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi bersorak bersama pemimpin BN di Bandar Baharu, Kedah malam tadi. Gambar: Bernama
Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi bersorak bersama pemimpin BN di Bandar Baharu, Kedah malam tadi. Gambar: Bernama

Barisan Nasional (BN) tidak akan mengadakan sebarang rundingan dengan parti ‘lebai’, untuk apa jua gabungan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.

Tanpa menamakan mana-mana parti, beliau yang juga presiden Umno menyifatkan parti berkenaan sebuah parti yang tiada pendirian tetap.

“Kita jangan pedulikan pak lebai bersama kita (BN) atau tidak, pak lebai petang cakap lain, malam cakap lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran di Dataran Seri Serdang semalami.

Turut hadir Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi BN Kedah Jamil Khir Baharom.

Zahid berkata BN mahu kawan yang setia dan istiqamah, selain yang sedia bersama susah dan senang bersama parti itu.

“Mereka beritahu tunggu lepas pilihan raya kita runding, BN jawab dengan cepat pilihan raya belum lagi, kita sedang menghadapi realiti ketika ini. Jangan runding lepas pilihan raya, kita bukan riak, sombong, takut atau pengecut. Rakyat sudah sedar dan akan beri kepercayaan semula kepada BN.

“Ketika itu apabila kita berjaya bentuk kerajaan, baru ada orang terhegeh-hegeh hendak jumpa kita, kita akan cakap cukup sampai di sini dan semua sudah terlambat,” katanya.