- Iklan -
Berita

Najib tak boleh berkempen dari penjara

Jabatan Penjara berkata banduan tidak dibenarkan untuk membuat kenyataan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak melambaikan tangan di Istana Kehakiman Putrajaya pada 23 Ogos lalu di mana beliau gagal mengenepikan sabitan menyelewengkan RM42 juta dana SRC International.
Bekas perdana menteri Najib Razak melambaikan tangan di Istana Kehakiman Putrajaya pada 23 Ogos lalu di mana beliau gagal mengenepikan sabitan menyelewengkan RM42 juta dana SRC International.

Bekas perdana menteri Najib Razak yang dipenjarakan tidak akan dapat mengeluarkan kenyataan, berikutan kenyataan Jabatan Penjara yang menghalang banduan daripada berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal diadakan bulan depan.

“Setakat ini apa-apa kenyataan yang mahu dikeluarkan oleh banduan dalam penjara... sememangnya tidak dibenarkan,” kata Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara Supri Hashim kepada pemberita di sebuah acara di Melaka hari ini.

Beliau berkata larangan itu meliputi semua banduan, termasuk Najib, yang mula menjalani hukuman 12 tahun pada 23 Ogos selepas kalah dalam rayuan terakhirnya berhubung kes SRC International di Mahkamah Persekutuan.

Supri berkata surat atau dokumen daripada banduan kepada keluarga mereka akan ditapis oleh jabatan itu sebelum dihantar keluar.

“Jabatan Penjara tiada kena mengena dengan politik dan kami hanya laksanakan tanggungjawab waima apa pun kerajaan yang memerintah,” tambahnya.

Sejak dipenjarakan, terdapat dakwaan bahawa Najib menerima layanan istimewa di penjara, termasuk dakwaan mengatakan bekas perdana menteri itu ditempatkan di sebuah rumah yang terletak dalam kawasan penjara.

Pihak penjara berulang kali menafikan spekulasi mengenai dakwaan berhubung pemenjaraan Najib.

Dakwaan itu turut menarik tumpuan ramai terhadap layanan yang diberikan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim, yang merupakan pemimpin politik paling kanan pernah dipenjarakan sebelum Najib.

Bulan lalu, MalaysiaNow melaporkan ketua pembangkang itu diberikan layanan istimewa semasa menjalani hukuman penjara atas sabitan liwat.

Ia termasuk peguamnya yang membawa masuk bahan untuknya, serta menyeludup keluar kenyataan akhbar dan surat sebelum pembangkang melancarkan gabungan bersama pada PRU14.