PM tak pernah bincang tarikh bubar Parlimen dengan Kabinet, kata menteri PN
Menurut Abdul Latiff Ahmad, pada minggu terakhir sebelum pembubaran, Ismail masih berteka-teki.
Terkini
Seorang menteri Perikatan Nasional (PN) Abdul Latiff Ahmad hari ini membidas Ismail Sabri Yaakob yang mahu memecat ahli jemaah jika tidak bersetuju dengan pembubaran Parlimen ke-14, mengatakan perdana menteri tidak pernah berbincang mengenai tarikh pengumuman pembubarannya.
Dalam sebuah kenyataan, Latiff yang merupakan menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata mesyuarat Kabinet sepanjang 14 bulan Ismail menjadi perdana menteri sentiasa mencapai persetujuan setuju sebulat suara dalam perbincangan yang dibangkitkan ketika mesyuarat.
“Kita tidak pernah mengundi untuk menentukan apa jua keputusan.”
Beliau turut menambah, Kabinet Ismail terdiri daripada pelbagai parti di mana perbincangan hanya menjurus mengenai soal dasar dan tidak pernah dibangkitkan hal-hal politik.
“Kita berbincang hal persediaan pilihan raya bersekali dengan persediaan bencana, monsun timur laut dan persediaan Bajet 2023.
“Malah, pembentangan Bajet 2023 diawalkan mendapat persetujuan anggota Kabinet lebih awal.”
Pada 17 Oktober lalu, Ismail dalam program Umno di Bagan Datuk, berkata beliau berbincang dengan Kabinet dua kali mengenai pembubaran Parlimen.
“Saya beritahu dia orang, kalau you all (awak semua) tak setuju saya bubarkan sahaja Kabinet ni, dengan pecat semua orang, pun saya boleh buat. Silap, patut saya pecat semua sekali.
“Akan tetapi saya tidaklah seperti itu. Saya orangnya baik, lemah lembut, tetapi bukan lembut,” kata Ismail.
’Kami pun ada maruah’
Latiff berkata kenyataan Ismail itu tidak perlu dibuat dalam program politik.
“Memang kita tahu perdana menteri mempunyai kuasa ‘hire and fire’, namun kami pun ada maruah, tidak perlu pecat kami, kami pun boleh letak jawatan lebih awal,” katanya.
“Cuma (perkara Pilihan Raya Umum ke-15) PM tidak pernah untuk beliau meminta mandat daripada anggota Kabinet mengenai tarikh pembubaran Parlimen” katanya sambil menambah Ismail mahu mengutamakan persediaan bencana banjir monsun dan isu kos barangan daripada hal pilihan raya.
Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan 12 Anggota Kabinet Bersatu dan PAS menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan tidak setuju terhadap gesaan pemimpin Umno yang mahu Parlimen dibubarkan pada tahun ini.
Mereka memetik alasan mahu memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat pada musim banjir dan pemulihan ekonomi.
Bagaimanapun, pada 10 Oktober, Ismail mengumumkan pembubaran Parlimen sekali gus memberi laluan PRU15 diadakan.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
