- Iklan -
Berita

Perincikan dasar, kata penganalisis kepada PKR menjelang PRU15

Mereka berkata parti mesti melihat melangkaui janji yang luas untuk melibatkan diri dengan pengundi menjelang pilihan raya umum.

Teoh Yee Shen
3 minit bacaan
Kongsi
Bendera PKR berkibar di sepanjang jalan di Kampung Melayu Majidee sewaktu kempen Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac lalu.
Bendera PKR berkibar di sepanjang jalan di Kampung Melayu Majidee sewaktu kempen Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac lalu.

Penganalisis menggesa PKR beralih daripada agenda-agenda besar dan sebaliknya merangka dasar dan inisiatif yang konkrit dalam tawarannya pada pilihan raya akan datang, memberi amaran supaya teraju utama Pakatan Harapan (PH) itu segera menyiapkan tawarannya bagi meraih semula populariti dalam kalangan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Ditubuhkan susulan gelombang "reformasi" selepas pemecatan Anwar Ibrahim daripada jawatan timbalan perdana menteri pada 1998, PKR kekal menjadi pembangkang di Parlimen sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Parti itu bertanding di 71 kerusi Parlimen dan berjaya memenangi 48 daripadanya sekali gus membentuk kerajaan pusat bersama rakan komponen PH yang lain termasuk DAP, Amanah dan Bersatu apabila melakar kemenangan bersejarah menumbangkan Barisan Nasional (BN) buat kali pertama sejak negara mencapai kemerdekaan.

Bagaimanapun, kemenangan itu tidak bertahan lama - pentadbiran PH tumbang selepas hanya 22 bulan di Putrajaya, berikutan Langkah Sheraton yang menyaksikan Bersatu keluar daripada gabungan itu.

Ekoran peristiwa itu, PKR kehilangan 10 ahli Parlimen, menjadikannya kini hanya memiliki 38 kerusi, sementara PH kehilangan bilangan majoriti di Dewan Rakyat.

PKR terus dirundung kekalahan dalam beberapa pilihan raya negeri (PRN) yang diadakan selepas kejatuhannya dari tampuk pentadbiran kerajaan.

Ia hanya berjaya memenangi dua kerusi dalam PRN Sabah yang diadakan pada September 2020 dan satu kerusi pada PRN Johor Mac lalu.

Parti itu juga kalah di semua kerusi yang ditandinginya pada PRN Sarawak Disember lalu dan PRN Melaka pada November.

Bagaimanapun, penganalisis politik Mujibu Abd Muis berkata situasi PRN berbeza dengan pilihan raya di peringkat persekutuan dari segi senario, naratif dan latar suasana.

Mujibu dari Universiti Teknologi Mara, berkata PKR mungkin mendapat kelebihan daripada pertembungan pelbagai penjuru selain lebih ramai pengundi dijangka keluar membuang undi pada PRU15.

“Parti itu mungkin ada peluang jika peratusan keluar mengundi tinggi pada hari pengundian," tambahnya.

“Cabaran terbesar PKR dan PH adalah untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.

"Jika ini dapat segera diselesaikan, sama ada dengan usaha mereka sendiri atau melalui pakatan pilihan raya strategik, ia akan meningkatkan peluang mereka dalam pilihan raya."

Penganalisis Bridget Welsh turut bersetuju, mengatakan beberapa faktor menjadi penyumbang prestasi buruk PKR di peringkat negeri.

“Dalaman parti itu sendiri masih terus berpecah-belah ," kata Welsh, dari Institut Penyelidikan Asia Universiti Nottingham-Malaysia, kepada MalaysiaNow.

“Namun itu di peringkat dalaman parti, jadi ia tidak melibatkan platform dengan pengundi."

Mujibu berkata PKR memerlukan naratif yang meyakinkan bagi mengatasi sokongan kuat akar umbi terhadap Umno dan BN di kawasan majoriti Melayu.

Malahan, Mujibu berkata perkara itu penting bagi mengekalkan pengaruh PH di kerusi bandar dan pinggir banda.

"Jangan hanya utarakan perjuangan memerangi rasuah dan tadbir urus yang baik," tambahnya, memetik isu lain seperti dasar luar dan rancangannya bagi membina ekonomi yang mampan.

"Mereka mesti tunjuk imej sebagai bakal kerajaan yang meyakinkan."

Sementara itu, Welsh berkata cabaran utama PKR ialah mengubah pemikiran "reformasi" yang dilaungkan sejak 1990-an.

"Cabaran besarnya ialah Anwar Ibrahim, yang kurang menerima sokongan dalam kalangan orang muda, khususnya di Borneo," katanya.

“Persoalannya, bagaimana mereka memasukkan dan mempromosikan pemimpin baru, dan menjadikan parti yang lebih inklusif dan mantap?

"Bukan hanya dasar yang besar – PKR dan PH perlu tawarkan lebih banyak dasar konkrit dan program inisiatif. Meyuarakan amalan politik tulen dan inklusif yang tidak berasaskan kaum."

Berhubung perkara ini, Welsh dan Mujibu berkongsi pandangan sama bahawa kembalinya bekas ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli ke tampuk pimpinan PKR akan membantu parti itu pada PRU15.

Rafizi berhenti daripada politik pada akhir 2019, namun beliau mengumumkan kembali ke dalam arena politik negara awal tahun ini. 

Beliau juga memenangi jawatan timbalan presiden dalam pemilihan PKR pada Mei lalu.

Welsh berkata kehadiran Rafizi akan menarik minat golongan bandar dan kelas menengah yang secara tradisinya berminat dengan agenda "reformasi".

“Tarikan yang ada pada Rafizi terhad kepada usahanya yang mahu kembali kepada teras perjuangan PKR, namun pada masa yang sama, ada impak daripada faktor usianya yang lebih muda, ia mengalihkan tumpuan perbincangan daripada hanya tertumpu kepada Anwar," katanya.

Dalam pada itu, Mujibu berkata Rafizi juga memainkan peranan penting dalam parti dari segi strategi, kempen dan pendekatan yang kreatif.