- Iklan -
Berita

Dagangan Malaysia melonjak 31.4% kepada hampir RM257 bilion pada September

Perdagangan bagi suku ketiga 2022 berkembang sebanyak 42.0% kepada RM774.98 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan udara bangunan pencakar langit KL118 yang sebelum ini dikenali sebagai Warisan Merdeka yang mempunyai ketinggian 644 meter.
Pemandangan udara bangunan pencakar langit KL118 yang sebelum ini dikenali sebagai Warisan Merdeka yang mempunyai ketinggian 644 meter.

Perdagangan Malaysia terus mengekalkan trend peningkatan pada September 2022 apabila melonjak 31.4% kepada RM256.91 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berkata prestasi itu merupakan bulan ke-20 berturut-turut mencatat pertumbuhan dua angka.

Selain itu, eksport bertambah sebanyak 30.1% kepada RM144.31 bilion yang juga bulan ke-14 meraih pertumbuhan dua digit manakala import berkembang sebanyak 33.0% kepada RM112.60 billion.

“Lebihan dagangan Malaysia turut mencatat rekod tertinggi baharu dengan meningkat sebanyak 20.9 % kepada RM31.71 bilion,” katanya.

Jumlah tersebut adalah nilai tertinggi bagi September.

Miti berkata, pertumbuhan eksport disumbangkan terutamanya oleh permintaan kukuh bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum, gas asli cecair (LNG), petroleum mentah, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan.

Selain itu, eksport barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta LNG mencatat nilai bulanan tertinggi setakat ini.

Eksport ke negara-negara rakan dagang utama khasnya Asean, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun turut meraih pertumbuhan dua digit.

Malah, eksport ke Jepun mencatatkan nilai eksport bulanan tertinggi setakat ini.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, Miti berkata eksport dan lebihan dagangan masing-masing meningkat 2.2 % dan 86.1 % manakala perdagangan dan import susut sebanyak 3.2% dan 9.4%.

Perdagangan bagi suku ketiga 2022 telah berkembang sebanyak 42.0% kepada RM774.98 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Eksport meningkat 38.3% kepada RM419.65 bilion manakala import naik 46.5% kepada RM355.32 bilion.

“Ini merupakan nilai suku tahunan yang tertinggi bagi perdagangan, eksport dan import. Lebihan dagangan bertambah 5.6% kepada RM64.33 bilion,” katanya.

Berbanding suku kedua 2022, segmen perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing menokok sebanyak 6.1%, 6.5%, 5.7% dan 10.8%.

Miti berkata, bagi tempoh sembilan bulan pertama 2022, perdagangan menokok 32.9% kepada RM2.130 trilion berbanding tempoh sama tahun lepas.

Eksport meningkat 30.3% kepada RM1.159 trilion dan import berkembang 36.2 % kepada RM971.26 bilion.

“Lebihan dagangan berkembang 6.3% kepada RM187.40 bilion. Perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan mencatatkan nilai tertinggi bagi tempoh ini,” katanya.

 Bagi prestasi eksport mengikut sektor, kementerian itu berkata eksport barangan perkilangan pada September 2022 mencecah nilai tertinggi sebanyak RM122.23 bilion atau 84.7 % daripada jumlah eksport yang juga meningkat 28.7% tahun ke tahun.

“Ini merupakan pertumbuhan dua digit yang ke-14 bulan berturut-turut. Barangan E&E, keluaran petroleum, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan masing-masing telah merekodkan kenaikan eksport melebihi RM1 bilion,” katanya. 

Eksport hasil galian (7.7% syer) melonjak 89.0% tahun ke tahun kepada RM11.10 bilion dan merupakan nilai bulanan tertinggi setakat ini.

Peningkatan tersebut adalah pertumbuhan dua digit ke-18 bulan berturut-turut, yang disokong oleh kenaikan eksport LNG dan petroleum mentah.

Selain itu, Miti berkata eksport keluaran pertanian (7.2% syer) berkembang 8.0% kepada RM10.44 bilion berbanding September 2021, disumbangkan terutamanya oleh pertambahan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. 

“Eksport keluaran pertanian (7.2% syer) berkembang 8.0% kepada RM10.44 bilion berbanding September 2021 disumbangkan terutamanya oleh pertambahan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit,” katanya.

Perdagangan dengan pasaran utama menyaksikan dagangan dengan Asean meningkat 33.6% tahun ke tahun kepada RM67.85 bilion yang menyumbang 26.4% daripada jumlah perdagangan Malaysia.

Miti berkata, eksport naik 31.5% kepada RM39.97 bilion yang disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E dan keluaran petroleum.

Bagi bulan sama, perdagangan dengan China yang menyumbang 17.1% kepada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 14.0% tahun ke tahun kepada RM43.91 bilion dengan eksport ke negara ekonomi kedua terbesar itu merekodkan pertumbuhan 8% kepada RM20.09 bilion disokong oleh pertambahan eksport barangan E&E.

Perdagangan dengan Amerika Syarikat pada September 2022 yang merangkumi 10.4% daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 42.5% tahun ke tahun kepada RM26.73 bilion yang juga nilai bulanan tertinggi setakat ini.

“Eksport tumbuh 32.5% kepada RM16.31 bilion, disokong oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E,” katanya.

Kementerian itu berkata, perdagangan dengan Jepun yang menyumbang 6.7% daripada jumlah dagangan Malaysia, berkembang 49.5% kepada RM17.11 bilion pada September 2022.

“Selain itu, eksport  melonjak 74.6 % kepada RM9.93 bilion, disokong oleh pertambahan eksport LNG, barangan E&E dan keluaran petroleum,” kata Miti.