- Iklan -
Berita

Ubat berasaskan ganja boleh didaftar jika ada bukti kukuh, selamat, kata Khairy

Menteri kesihatan itu berkata pendaftaran akan dibuka bagi ubat berasaskan kanabis jika terdapat bukti kukuh bahan itu selamat dan berkesan dalam merawat pesakit.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama

Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuka pendaftaran bagi ubat berasaskan ganja atau kanabis jika terdapat bukti kukuh bahan itu boleh digunakan dengan selamat dan berkesan dalam merawat pesakit, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Pusat Penyelidikan Klinikal (ICR) di bawah Institut Kesihatan Kebangsaan sedang mengadakan semakan dan perbincangan bersama pakar-pakar terutamanya dalam bidang ekologi dan rawatan paliatif.

"Ia turut melibatkan pakar dalam perkhidmatan yang memberi rawatan untuk keadaan tertentu seperti epilepsi dan mereka sedang semak data dari negara luar dari segi keberkesanan dan keselamatan penggunaan kanabis dalam kondisi (penyakit) tertentu.

"Sekiranya semakan pakar mendapati bahawa ada bukti kukuh kanabis boleh digunakan selamat dan berkesan, maka kita boleh buka untuk pendaftaran bagi indikasi (penggunaan untuk rawatan penyakit tertentu) itu," katanya pada sidang media selepas majlis serahan Pusat Jantung Hospital Serdang semalam.

Khairy berkata adalah penting untuk memastikan pakar tempatan berpuas hati bahawa kanabis memang boleh digunakan untuk kondisi tertentu.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan akan memutuskan pendirian berhubung penggunaan kanabis dalam bidang perubatan sebelum akhir tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Khairy ketika diminta mengulas mengenai jaminan Umno akan memberikan kawasan yang sesuai kepada beliau untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau secara ringkas berkata: "Terima kasihlah (kepada Umno)". 

Semalam, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata Umno akan mencari tempat sesuai bagi penyandang kerusi Parlimen Rembau itu bertanding pada PRU15.

Mohamad berkata Khairy ialah pemimpin muda berkaliber dan baik untuk negara dan sudah tentu Umno tidak mahu beliau "hilang" begitu sahaja.