- Iklan -
Berita

Tak mudah kata 'ya' untuk kerjasama Bersatu-Pejuang, kata Hamzah

Hamzah Zainudin berkata sekiranya Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bersedia bekerjasama dengan Pejuang, maka beliau perlu membawa perkara itu pada mesyuarat tertinggi parti.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang sukarelawan mengibarkan bendera Pejuang ketika Pilihan Raya Negeri Johor Mac lalu.
Seorang sukarelawan mengibarkan bendera Pejuang ketika Pilihan Raya Negeri Johor Mac lalu.

Kerjasama politik antara Bersatu dengan Pejuang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu dibincangkan dengan semua pihak termasuk parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata sekiranya Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bersedia bekerjasama dengan Pejuang, maka beliau perlu membawa perkara itu pada mesyuarat tertinggi parti.

“Bukan mudah sahaja kata ‘ya’ kita bersetuju dengan (kerjasama dengan Pejuang) itu. Tidak boleh kerana kita mempunyai rakan-rakan dalam pakatan parti,” kata Hamzah yang juga setiausaha agung PN dalam sidang media selepas merasmikan Hari Pendaftaran Negara 2022 di Putrajaya semalam. 

Sebelum ini, Muhyiddin berkata Bersatu bersedia untuk mempertimbang kerjasama dengan Pejuang pada PRU15 sekiranya Pejuang serius mengenai kerjasama itu.

PN dianggotai oleh Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Dalam pada itu, Hamzah yang juga menteri dalam negeri berkata aktiviti ceramah dan kempen boleh diadakan dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang.

"Ceramah ini boleh berlaku bila-bila masa, cuma perlu mengikut SOP sedia ada,” katanya ketika mengulas sama ada aktiviti kempen dibenarkan meskipun Suruhanjaya Piihan Raya (SPR) belum mengumumkan tarikh-tarikh penting PRU15. 

Sebelum ini, Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata mesyuarat khas untuk membincang dan menentukan tarikh-tarikh penting PRU15 dan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah akan diadakan Khamis ini.