Kos sara hidup antara masalah utama miskin bandar Lembah Pantai
Mereka tidak memandang dari parti mana calon yang akan bertanding PRU di kawasan mereka, namun individu yang mahu mewakili mereka perlu mengutamakan kepentingan rakyat.
Terkini
Setiap pagi, Zuraliati Zulkifli akan membuka gerai kecil-kecilannya di sebelah Stesen Minyak Petronas di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Dia menjual petai dan aneka kuih-muih secara kecil-kecil sepenuh masa.
Ibu tunggal berusia 49 tahun itu berniaga untuk menyara kehidupan seharian.
Dia mempunyai tujuh orang anak.
Hanya anak bongsu yang masih bersekolah.
Akuinya kehidupan di bandar agak mencabar dari segi kewangan.
Dia yang menetap di PPR Sri Cempaka di Lembah Pantai sejak enam tahun lalu mahu melihat kerajaan yang lebih peka dalam memelihara kebajikan rakyat.
"Kita nak pemimpin dapat membantu dan melihat keadaan rakyat bukan hanya bercakap di mulut. Dengan keadaan ekonomi sekarang, barang semua mahal.
"Dulu RM100 penuh satu troli, sekarang mungkin beberapa barang sahaja," katanya ketika ditemui MalaysiaNow.
Seorang pengawal keselamatan yang bekerja di Apartment Pantai Permai berkata, Rosli Hashim, 48 berharap sesiapa yang memenangi kerajaan pusat dan ahli Parlimen Lembah Pantai terus memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.
"Sebelum mengundi ini, calon-calon jenguklah kawasan ini dan bantu rakyat yang di bawah ini dengan bantuan dan tonjolkan diri," katanya.
Permila Dewi yang menetap di Lembah Pantai selama 20 tahun, seorang warga emas yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan berkata, dia juga mengharapkan lebih banyak bantuan kepada golongan susah.
"Apa bantuan pun tidak dapat. Semasa ada Bantuan Rakyat 1Malaysia, saya tak dapat pun.
“Saya pergi bertanya sendiri (semasa memohon) dan ditanya mengenai macam-macam perkara tapi tetap tak dapat. Saya kerja pun susah, kalau boleh adalah bantuan," katanya.
Menurut bancian 2020, Lembah Pantai mempunyai 148,094 penduduk, dengan 69.4% Bumiputera, 23.2% Cina dan 6.7% India.
Di satu sisi, Lembah Pantai mempunyai kondominium dan pusat komersial mewah yang boleh dilihat daripada Lebuhraya Persekutuan.
Pendapatan isi rumah median penduduk Parlimen itu ialah RM9,801, manakala purata pendapatan isi rumah ialah RM13,081.
Manakala di satu sisi lain, ia turut dihuni golongan berpendapatan rendah 40 peratus terbawah, atau B40.
Gugusan pangsapuri kos rendah dan PPRT boleh dilihat di sisi Lebuhraya Pantai Baru (NPE) membentuk sebahagian besar kawasan di kerusi Parlimen itu.
Isu kos sara hidup perlu dimanfaatkan oleh mereka yang berhasrat merampas kerusi itu daripada PKR yang menang untuk tiga penggal sejak 2008, dengan dua kali kemenangan di bawah Nurul Izzah Anwar dan kini Fahmi Fadzil.
Fahmi mendapat 33,313 undi memenangi kerusi itu menewaskan Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin daripada Barisan Nasional (27,715 undi) dan Fauzi Abu Bakar daripada PAS (5,277 undi).
Zuraliati berkata, dia mahukan pemimpin yang menolong tanpa mengira jalur politik.
"Penduduk sini ada suasana kekeluargaan tak kira mana-mana pihak, cuma komitmen politik itu pada yang membawa (penyandang kerusi).
"Mereka akan pandang siapa yang menarik hati, bukan sahaja yang membiarkan rakyat selepas pengundian," katanya.

Zurawati dan Rosli kedua-duanya berpuas hati dengan perkhidmatan ahli Parlimen Lembah Pantai setakat ini yang menurut mereka kerap menunjukkan muka di kawasan mereka.
Bagi seorang penduduk di PPR Kerinchi, Baharudin Md Som, persatuan penduduk di PPR itu menjaga hubungan baik dengan semua pihak namun dia mahukan anak jati Lembah Pantai sebagai calon.
"Jika ada calon luar dari luar Lembah Pantai, tak kira parti mana sekali pun, saya tidak akan undi.
“Orang sini lebih tahu masalah di sini dan lebih mudah jika kita ingin memohon apa-apa," tambahnya.
Antara masalah yang dihadapi ialah parkir dan trafik ekoran kepadatan tinggi penduduk PPR, masalah lif yang sering rosak selain remaja tempatan yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Pada PRU15 kali ini, ketua Umno Bahagian Lembah Pantai Ramlan Askolani dijangka dicalonkan BN manakala Perikatan Nasional (PN) dijangka mencalonkan Fauzi Abu Bakar, timbalan yang di-pertua PAS Lembah Pantai.
Tiada pengesahan daripada Fahmi sama ada beliau akan mempertahankan kerusi tersebut.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
Paling Popular
Tiada artikel ditemui.
