- Iklan -
Berita

Umno akan cari tempat sesuai untuk Khairy, kata Tok Mat

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata Khairy Jamaluddin merupakan pemimpin berkaliber dan baik untuk negara dan sudah tentu Umno tidak mahu beliau 'hilang' begitu sahaja.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan bersama Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin ketika mesyuarat bahagian di Seremban hari ini. Gambar: Bernama
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan bersama Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin ketika mesyuarat bahagian di Seremban hari ini. Gambar: Bernama

Umno akan mencari tempat sesuai untuk penyandang kerusi Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata Khairy yang juga menteri kesihatan merupakan pemimpin muda berkaliber dan baik untuk negara dan sudah tentu Umno tidak mahu beliau "hilang" begitu sahaja.

"Kita cuba cari tempat sesuai untuk beliau untuk bertanding di PRU15," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Rembau hari ini.

Terdahulu, pada mesyuarat sama, Khairy yang juga timbalan ketua Umno Rembau dalam ucapan penggulungannya berkata beliau memberi laluan kerusi Parlimen Rembau kepada Mohamad pada PRU15.

"Itu semangat kekeluargaan di Rembau, kami beradat. Alhamdulillah kita akan pastikan jentera di Rembau dipertingkatkan lagi, tiada isu kerusi Rembau lagi," kata Mohamad yang juga ketua Umno Rembau.

Mengenai mesyuarat perwakilan hari ini, Mohamad yang juga timbalan pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata parti itu perlu memberi tumpuan di beberapa kawasan yang mengalami kekalahan tipis pada PRU14.

"Kita tidak cakap tentang sasaran kerusi,  sasaran kita nak menang jadi mesti melepasi 112 kerusi supaya dapat tubuhkan kerajaan pada PRU15 ini.

"Kalau boleh menang banyak, lagi baik dan kawasan dulu yang kalah tipis perlu diberikan tumpuan yang lebih oleh pimpinan di kawasan tersebut," katanya.