- Iklan -
Berita

PAS guna 'bulan' di Kelantan, Terengganu dan Kedah

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata PAS akan berbincang mengenai penggunaan logo selain simbol bulan di negeri lain.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Penyokong PAS berhimpun ketika pelancaran jentera pilihan raya parti itu di Banting awal bulan ini. Gambar: Bernama
Penyokong PAS berhimpun ketika pelancaran jentera pilihan raya parti itu di Banting awal bulan ini. Gambar: Bernama

PAS memutuskan untuk menggunakan logo parti itu sendiri di tiga negeri di bawah pentadbirannya iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presidennya, Abdul Hadi Awang berkata PAS terbuka mengenai penggunaan simbol bagi negeri selain Kelantan, Terengganu dan Kedah yang akan dibincangkan di peringkat Perikatan Nasional (PN).

PAS merupakan salah satu parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN), selain Bersatu, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

“Terengganu, Kelantan dan Kedah memang PAS kuat (jadi) kita pakai simbol ‘bulan’. Negeri lain kita serah hendak pakai simbol apa. Kita buat keputusan, kita akan bincang.

“Negeri lain ini mereka tidak berapa tahu hal-hal PAS. Orang Kelantan, Terengganu dan Kedah sudah  tahu. Negeri lain tidak apalah, kita maafkanlah,” katanya ketika menyampaikan kuliah dhuha bersempena  Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera di Pantai Peranginan Kelulut hari ini.

Hadi semalam dilaporkan berkata PAS membuat keputusan untuk memperkukuhkan kerjasama dalam PN atas prinsip penyatuan ummah.