Belum ada keputusan muktamad isu bubar DUN negeri diterajui PH
Pengerusi PH Anwar Ibrahim mahu kesemua negeri berbincang secara terperinci dengan pimpinan masing-masing mengenai isu tersebut.
Terkini
Keputusan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini masih terikat.
Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata bagaimanapun, Majlis Presiden PH mahu kesemua negeri terbabit berbincang semula secara terperinci dengan pimpinan parti masing-masing berkaitan isu pembubaran DUN bagi membolehkan komponen PH mendapat persefahaman untuk sebarang keputusan yang akan dibuat nanti.
“Kita masih terikat dengan keputusan Majlis Presiden tetapi kita telah meminta supaya ia secara terperinci dibincang semula dengan pimpinan parti masing-masing supaya ada persefahaman.
“Bincang semula dengan semua parti dan juga negeri... untuk buat keputusan bersama,” katanya kepada media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di sini hari ini ketika ditanya jika terdapat perubahan dalam keputusan sebelum ini berhubung pembubaran DUN.
Majlis Presiden PH sebelum ini memutuskan bahawa ketiga-tiga negeri tidak akan membubarkan DUN jika PRU15 diadakan tahun ini.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 berkuat kuasa 10 Oktober untuk memberi laluan kepada PRU15 selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Semalam, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata DAP Pulau Pinang meminta supaya keputusan untuk tidak membubarkan DUN yang dibuat sebelum ini dikaji semula dan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini.
Ditanya jika sudah terdapat keputusan berkaitan perkara itu, Anwar menjawab: “Tak, selalunya kita dalam hal-hal besar, sama ada pimpinan parti bincang dulu, bawa ke Majlis Presiden atau Majlis Presiden berikan kerangka dasar utama, itu disebut garis besar bawa ke pimpinan parti masing-masing.
“Setakat ini, kita masih terikat dengan keputusan yang lalu tetapi masih ada perbincangan,” kata Presiden PKR itu.
Mengenai rundingan antara PH dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk bekerjasama dalam PRU15, Anwar berkata ia positif dan boleh diteruskan.
“Buat masa ini, kerjasama dengan Muda adalah pakatan pilihan raya kerana saya tidak fikir Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) akan meluluskan apa-apa buat masa sekarang,” katanya.
Ditanya kemungkinan beliau bertanding di kerusi Parlimen Tambun, Anwar berkata: “Ia adalah antara kawasan yang saya beri perhatian, belum muktamad lagi.”
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.