- Iklan -
Berita

Saya 'cabut' lepas Najib tandatangan borang buka akaun bank, kata saksi

Bekas pengarah bukan eksekutif AmBank Cheah Tek Kuang berkata beliau pergi ke rumah bekas perdana menteri itu pada 2011.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas pengarah bukan eksekutif Cheah Tek Kuang ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Bekas pengarah bukan eksekutif Cheah Tek Kuang ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Bekas pengarah bukan eksekutif AmBank hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau "cabut" sebaik sahaja selepas Najib Razak selesai menandatangani borang permohonan pembukaan akaun bank di rumahnya di Bukit Tunku, 11 tahun lepas.

Cheah Tek Kuang, 75, berkata beliau pergi ke rumah bekas perdana menteri itu pada 2011 berhubung permintaan tertuduh untuk membuka akaun bank di AmBank.

Saksi pendakwaan ke-39 itu berkata demikian dalam pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya kanan Gopal Sri Ram pada perbicaraan Najib berhubung dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini.

Sri Ram: Sebelum ini, kamu berkata kamu agak gementar ketika berada di sana. Kamu pergi selepas Najib menandatangani borang? 

Cheah menjawab, "Ya, saya ‘cabut’ bersama dokumen.

Ditanya mengenai kehadiran ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low di kediaman Najib, Cheah berkata ketika beliau sampai di rumah Najib, dia (Jho Low) berada di dalam kereta yang lain.

“Apabila saya masuk ke dalam rumah, dia yang memperkenalkan saya kepada Datuk Seri Najib,” kata Cheah.

Sri Ram: Di mana Jho Low ketika anda ‘cabut’?

Cheah: Saya tidak tahu.

Sri Ram: Adakah dia mengiringi kamu? Cheah menjawab "Tidak".

Saksi itu berkata beliau pergi ke bahagian lain rumah Najib dari tempat Jho Low berada dan menyedari Jho Low turut diiringi beberapa individu.

Semasa prosiding sebelum ini, Cheah berkata beliau beredar kira-kira lima minit selepas Najib menandatangani dokumen itu kerana Najib sangat sibuk dan mereka tidak berbincang apa-apa kecuali mengenai akaun dan jangkaan kemasukan wang AS$100 juta ke dalam akaunnya.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.