- Iklan -
Berita

Najib tak dibenar kempen PRU15, kata KP Jabatan Penjara

Bekas perdana menteri itu tertakluk kepada akta dan peraturan semasa beliau menjalani hukuman penjara.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak melambaikan tangan di Istana Kehakiman Putrajaya pada 23 Ogos lalu, di mana beliau gagal mengenepikan sabitan dan hukumannya dan dihantar menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Bekas perdana menteri Najib Razak melambaikan tangan di Istana Kehakiman Putrajaya pada 23 Ogos lalu, di mana beliau gagal mengenepikan sabitan dan hukumannya dan dihantar menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Bekas perdana menteri Najib Razak sentiasa tertakluk kepada akta dan peraturan semasa beliau menjalani hukuman penjara.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia Nordin Muhammad berkata selagi Najib masih menjalani hukuman itu, beliau tidak dibenarkan keluar berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Keadaan dan peraturan masih sama… jadi selagi beliau masih menjalani hukuman dalam penjara, beliau tertakluk kepada akta dan peraturan penjara,” katanya kepada media pada majlis pelancaran Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2022 (Akta A1660)  di Ibu Pejabat Penjara Malaysia hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian pihak penjara sekiranya ada permohonan daripada penyokong Najib agar penyandang kerusi Parlimen Pekan itu diberi kebenaran khas untuk keluar berkempen pada PRU15.       

Bagaimanapun, Nordin berkata selain permohonan untuk menghadiri sesi sidang Parlimen yang telah ditolak, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan lain daripada bekas perdana menteri itu.

Beliau turut mengulangi bahawa Najib tidak pernah menerima sebarang layanan istimewa sepanjang menjalani hukuman penjara seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Nordin berkata Najib sama seperti banduan lain yang tertakluk kepada peraturan dan Akta Penjara selain prosedur operasi standard jabatan itu. 

“Kami memberi layanan yang sama kepada semua penghuni di sini dan tiada istilah pilih kasih kepada banduan di sini,” katanya.

Pada 23 Ogos lepas, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta.