- Iklan -
Berita

'Pemburuan calon' Rafizi dijangka bakal cetus satu lagi pemberontakan dalam PKR

Ramai pemimpin di peringkat cabang berkata kempen bekas ahli Parlimen Pandan itu mustahil dilaksanakan, sementara ada yang mempersoalkan beliau kerana 'paksa strategi yang tidak boleh dilaksanakan'.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berucap ketika konvensyen pilihan raya parti itu di Shah Alam pada Ogos lalu. Gambar: Bernama
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berucap ketika konvensyen pilihan raya parti itu di Shah Alam pada Ogos lalu. Gambar: Bernama

Kempen dalam talian terbaru yang disifatkan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli sebagai "inovasi politik" dijangka mencetuskan satu lagi pemberontakan dalam parti itu pada saat genting ketika ini, di mana sumber dalaman memberi amaran kali ini kesannya akan lebih dirasai berbanding kejadian sekumpulan ahli Parlimen keluar parti pada 2020, di mana ia menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Lebih dari sepuluh ketua cabang serta wakil rakyat PKR melahirkan rasa terkejut dengan pengumuman Rafizi yang baru-baru ini mengajak orang ramai bertanding untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), di mana ramai yang mengatakan ia menunjukkan kejahilan beliau tentang sifat semula jadi kuasa dan pengaruh yang ada dalam parti politik "dari peringkat akar umbi hingga persekutuan".

Sebahagian mereka memperkecilkan kempen itu, dan merasakan langkah tersebut adalah muslihat bagi "beberapa tujuan yang lain".

"Sudah tentulah ia dipanggil sebagai inovasi politik," kata seorang anggota kanan ranting PKR Petaling Jaya kepada MalaysiaNow dengan syarat namanya tidak disiarkan kerana bimbang tindakan akan diambil terhadapnya oleh kepimpinan pusat.

"Ia adalah satu inovasi yang sangat bijak, bukan sahaja untuk meningkatkan keahlian dengan mengumpan mereka menjadi calon, namun ia juga untuk mendapatkan lebih banyak data peribadi yang sangat berharga,” katanya.

Seorang ketua ranting PKR di Klang turut bersetuju.

"Ia bukan sesuatu yang menghairankan. Ini bukan kempen pertama Rafizi kumpul data daripada orang ramai. Beliau turut berada di belakang banyak laman sesawang lain untuk pelbagai tujuan, sama ada untuk pilihan raya atau kempen sukarelawan banjir," katanya.

Tiada jaminan perlindungan data

Khamis lalu, Rafizi memperkenalkan laman sesawang calonkeadilan.org, di mana sesiapa sahaja boleh mencalonkan diri mereka mewakili PKR pada PRU15 akan datang.

Mereka turut diminta memberikan data peribadi, termasuk pekerjaan, pendapatan, kelayakan akademik, akaun Facebook, butiran ahli keluarga dan juga butiran bank seperti pinjaman semasa dan nombor akaun.

Namun tiada jaminan daripada laman sesawang itu data tersebut tidak akan dijual semula bagi tujuan komersial atau tujuan lain, atau sama ada ia dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi.

Pemohon atau dalam kes ini, calon pilihan raya, hanya perlu memenuhi beberapa syarat biasa bagi menjadi calon pilihan raya di Malaysia, tetapi dengan syarat tambahan mereka perlu mendaftar sebagai ahli PKR.

Syarat itu ditetapkan walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan individu bukan ahli mana-mana parti untuk bertanding di bawah bendera parti politik itu.

Pengumuman Rafizi itu turut mengundang pelbagai reaksi di media sosial, di mana ramai yang membuat ulasan sarkastik sementara ada juga yang berkata mereka bersedia untuk mencalonkan diri mereka sendiri.

“Saya akan daftar sebagai ahli Keadilan pada Selasa ini 11 Oktober 2022 jam 1 tengah hari (semasa waktu makan tengah hari) di ibu pejabat Keadilan.

“Kemudian saya akan terus mohon di calonkeadilan.org," kata catatan Twitter Dr Noraishah Mydin Abd Aziz.

Rafizi, yang merupakan pengarah pilihan raya PKR, berkata beliau menjangkakan kira-kira 10,000 permohonan daripada mereka yang berminat untuk menjadi calon, di mana setiap calon akan dinilai oleh beliau dan presiden parti Anwar Ibrahim.

Kedua-duanya akan menyenarai pendek lima pemohon bagi setiap kawasan berdasarkan "kedudukan sosial" dan "pengaruh media sosial" mereka.

Resipi untuk satu lagi perpecahan PKR?

Walaupun ramai pemimpin ranting menolak kempen terbaru Rafizi, menyifatkan ia adalah langkah yang mustahil untuk dilaksanakan, namun ada juga yang menyatakan kemarahan terhadap tindakan bekas ahli Parlimen Pandan itu yang dibenarkan “untuk paksa strateginya yang tidak boleh dilaksanakan sedangkan ia sudah gagal sebelum ini”.

“Tiada parti yang bekerja dengan cara begini, dan langkah Rafizi itu boleh ditafsirkan sebagai tindakan sengaja mengenepikan Anwar dan veteran parti dalam soal calon pilihan raya.

“Sekiranya sistem baru ini dilaksanakan, ia boleh jejaskan parti, sekali lagi” kata seorang ahli veteran PKR di Pasir Gudang, Johor, yang ketika diberitahu mengenai rancangan terbaru itu berkata beliau tidak pernah mendengarnya.

Beliau berkata kekuatan sesebuah parti politik diukur dengan sokongan yang diterimanya di peringkat akar umbi.

"Dan dengan cara ini jugalah bagaimana institusi Parlimen beroperasi, di mana orang menjadi wakil rakyat di kawasan pilihan raya melalui aktiviti politik organik. Bukan melalui beberapa kempen yang menggunakan beberapa data yang diperoleh secara digital!"

Rafizi, merupakan antara dalang di sebalik Langkah Kajang yang gagal dilaksanakan oleh PKR pada 2014 bagi meletakkan Anwar sebagai menteri besar Selangor.

Beliau sering menjenamakan dirinya sebagai seorang yang mengambil keputusan berpandukan data terkumpul.

Ogos lalu, beliau mendakwa parti itu akan bergantung dengan data sebelum menetapkan tumpuan mereka di mana-mana negeri pada pilihan raya akan datang.

Pada 2018, Rafizi melalui Invoke, sebuah firma analisis data yang diasaskannya, telah meramalkan PAS tidak akan memenangi satu kerusi pun dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). 

Namun, parti Islam itu berjaya memenangi 18 kerusi persekutuan, di mana mereka meraih undi di kawasan Melayu, selain kekal menerajui Kelantan dan berjaya menawan Terengganu.

Hanya tiga daripada lima ahli Parlimen PKR yang dihubungi MalaysiaNow bersetuju untuk memberikan ulasan, di mana kesemua mereka tidak mahu nama disiarkan.

Salah seorang daripada mereka, yang merupakan seorang ahli Parlimen di Selangor, berkata rancangan itu adalah "resipi yang boleh mendatangkan bencana".

"PRU15 semakin hampir dan kita tidak sepatutnya bermain-main dengan eksperimen ini di mana ia akan menjejaskan perpaduan parti. Perancangan terbaru Rafizi ini hanya akan menjadi punca kepada satu lagi krisis seperti yang kita alami pada 2020. 

“Akan ada pemberontakan bukan sahaja daripada penyandang tetapi juga barisan termasuk mereka di akar umbi parti yang bersama dengan perjuangan parti sejak dari awal dan mereka yang tidak bertanding sebagai calon”.

Seorang lagi ahli Parlimen berkata sesiapa yang mencalonkan diri mereka sendiri sebagai calon hendaklah menjadi “pilihan terakhir untuk jawatan itu".

"Akhirnya, Rafizi hanya akan dapat daftar orang yang masuk parti hanya untuk jadi calon.”