- Iklan -
Berita

Sektor pendidikan kekal terima peruntukan terbesar sebanyak RM55.6 bilion

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata sektor pendidikan adalah pelaburan terbaik bagi membina masa depan negara yang cerah.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Murid Sekolah Menengah Lembah Keramat memakai pelitup ketika berada di kawasan sekolah bagi mengelak jangkitan Covid-19.
Murid Sekolah Menengah Lembah Keramat memakai pelitup ketika berada di kawasan sekolah bagi mengelak jangkitan Covid-19.

Pembentangan Bajet 2023 terus menyaksikan Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai penerima peruntukan terbesar melibatkan sebanyak RM55.6 bilion berbanding RM52.6 bilion tahun lalu.

Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di seluruh negara, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz menyebut sektor itu sebagai pelaburan terbaik bagi membina masa depan yang cerah.

Melalui jumlah itu, beberapa pengumuman dibuat memfokuskan kepada bantuan tunai, penyelesaian pinjaman pendidikan dan pembangunan serta naik taraf sekolah-sekolah di seluruh negara.

Seawal tahun 2023, kerajaan dijangka bakal menyalurkan bantuan awal persekolahan sebanyak RM150 berbanding RM100 pada tahun sebelumnya kepada semua murid tanpa melihat kepada had pendapatan ibu bapa.

Kerajaan turut menaikkan peruntukan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk Semenanjung dan RM3 kepada RM4 bagi murid-murid di Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Kenaikan kadar ini akan berkuat kuasa pada bulan ini juga. Sejumlah RM777 juta disediakan iaitu peningkatan signifikan berbanding RM280 juta pada tahun 2020 atas peluasan penerima, kenaikan kadar dan penyediaan bekalan susu setiap hari.

“Dengan itu, lebih 800,000 murid serta 7,300 pengusaha makanan dan pembekal susu tempatan akan menerima manfaat daripada penambahbaikan ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan Bajet 2023 di Dewan Rakyat.

Zafrul turut mengumumkan sejumlah RM2.3 bilion untuk menyediakan ruang pembelajaran yang kondusif dan selamat buat murid-murid sekolah. 

Daripada jumlah tersebut, RM1.1 billion disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaaan Cina dan Tamil serta sekolah agama.

“Bagi memenuhi keperluan penduduk setempat, kerajaan pada tahun 2023 akan mula membina lima buah sekolah baru dengan kos RM430 juta melibatkan SMK Nabalu di Sabah, SMK Dudong di Sarawak, SK Paya Dusun di Terengganu, SK Cyberjaya 2 dan SMK Denai Alam di Selangor,” katanya dan menambah sejumlah RM1.2 bilion disediakan untuk menaik taraf sekolah daif melibatkan 123 projek di Sabah dan 182 projek di Sarawak.

Diskaun pinjaman  

Pembentangan Bajet 2023 turut menawarkan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dengan kadar 20% bermula 1 November hingga 30 April 2023.

Bagaimanapun, kadar itu hanya digunapakai bagi bayaran penuh pinjaman PTPTN.

Pada perkembangan sama, beliau menyebut tawaran diskaun 15% diberikan untuk baki 50% hutang dan 15% untuk bayaran secara potongan gaji.

Katanya, langkah itu bertujuan untuk memudahkan dan mengurangkan beban peminjam sebaik mereka tamat pengajian 

Ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 itu, Zafrul mencadangkan kadar Elaun Sara Hidup tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi pelajar dan pegawai dalam negara akan diseragamkan dan dinaikkan RM100 sebulan bagi semua peringkat pengajian.

Perkembangan itu menjadikan jumlah elaun sara hidup tajaan JPA adalah antara RM730 hingga lebih RM980 sebulan.

Beliau berkata ia adalah tambahan susulan pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang menaikkan Elaun Sara Hidup bagi pelajar Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Petronas.

“Kemudahan pendidikan buat anak-anak Bumiputera khususnya dari keluarga susah akan terus diberi perhatian.

“Tahun hadapan, sebahagian besar daripada peruntukan RM6.6 bilion kepada Mara, Yayasan Peneraju dan UiTM adalah untuk menyediakan bumiputera dengan akses pinjaman pendidikan serta peluang mengikuti bidang profesional seperti kejuruteraan.”