- Iklan -
Berita

Bajet 2023: Lanjutan insentif dan potongan cukai

Pelbagai insentif dan potongan cukai diumumkan di mana ia dijangka akan manfaat kepada pelbagai pihak.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai beratur di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi urusan percukaian. Gambar: Bernama
Orang ramai beratur di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi urusan percukaian. Gambar: Bernama

Rakyat Malaysia dan pemastautin tetap berusia 18 tahun ke atas akan diberikan nombor pengenalan cukai (TIN) secara automatik dan penggunaannya diwajibkan bagi semua penyeteman dokumen serta surat cara, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Beliau berkata, ini adalah antara inisiatif kerajaan dalam memastikan sumber hasil yang mampan bagi membiayai perbelanjaan negara menerusi pentadbiran cukai yang lebih cekap.

TIN mula dibentangkan dalam Bajet 2020 dan ia sepatutnya dilaksanakan pada Januari 2021, namun ditangguhkan ke Januari 2022.

Berdasarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), TIN ialah nombor cukai pendapatan seperti mana rekod sedia ada dalam agensi itu dan pembayar cukai yang sudah mempunyai nombor cukai pendapatan sebelum 1 Januari 2022 akan ditafsir sebagai TIN bagi individu itu.

Menurut Zafrul, inisiatif seterusnya ialah pelaksanaan e-invois oleh LHDN secara berperingkat bermula 2023 dengan pembangunan sistem dan projek rintis bersama pembayar cukai.

Dalam pada itu, Zafrul mengumumkan kadar cukai pendapatan individu pemastautin bagi banjaran pendapatan bercukai antara RM50,000 hingga RM100,000 dikurangkan dua mata peratusan, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Ini bermakna, kadar cukai pendapatan bagi banjaran pendapatan lebih RM50,000 hingga RM70,000 diturunkan kepada 11% berbanding 13% manakala bankaran lebih RM70,000 hingga RM100,000 pula diturun kepada 19% berbanding 21% sebelum ini.

Menurut Zafrul, banjaran pendapatan bercukai lebih RM250,000 hingga RM400,000 pula akan digabungkan dengan banjaran pendapatan lebih RM400,000 hingga RM600,000 menjadikan kadar cukai kepada 25%.

Menerusi langkah itu, kerajaan menjangkakan penjimatan cukai kumpulan pertengahan (M40) sehingga RM1,000 manakala golongan pendapatan tinggi (T2) adalah sehingga RM250.

"Dianggarkan RM800 juta tersedia sebagai lebihan pendapatan yang boleh dibelanjakan rakyat," katanya.

Zafrul berkata, dalam usaha menggalakkan lebih ramai wanita kembali bekerja, kerajaan bercadang mengecualikan cukai pendapatan terhadap pendapatan yang diterima bermula tahun taksiran 2023 hingga 2028.

Pelepasan cukai sehingga RM3,000 yang dilanjutkan sehingga 2024 pula akan diberi kepada ibu bapa yang menghantar anak-anak ke taska dan tadika berdaftar.

Dari aspek membina simpanan hari tua, kerajaan juga akan meluaskan skop pelepasan cukai bagi premium insurans nyawa atau caruman takaful hayat untuk meliputi caruman sukarela KWSP sehingga RM3,000.

"Ini bagi menggalakkan lagi caruman sukarela KWSP," katanya sambil menambah had caruman sukarela dinaikkan daripada RM60,000 kepada RM100,000 setahun.

Bagi pemilik teksi individu, kerajaan bersetuju memberi pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi penjualan, pindah milik atau pelupusan teksi diperluas kepada teksi yang mana ia turut diperluas kepada teksi eksekutif dan teksi lapangan terbang.

Beralih kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) , Zafrul berkata, kadar cukai ke atas pendapatan bercukai bagi RM100,000 pertama dikurangkan kepada 15% daripada 17% mulai tahun taksiran 2023.

Untuk sektor pelancongan, kerajaan mencadang potongan cukai khas kepada hotel yang membeli produk kraf tangan tempatan dengan kos pembelian sehingga RM500,000 manakala pengecualian cukai kepada pengendali pelancongan yang membawa 200 pelancong asing setahun atau sekurang-kurangnya 400 pelancong tempatan.

Menurut Zafrul, individu yang memberi sumbangan kepada tabung akaun amanah bagi rawatan penyakit jarang jumpa turut akan diberi potongan cukai bersamaan nilai sumbangan.

Berhubung sektor pertanian, Zafrul memaklumkan bahawa tempoh galakan cukai bagi projek pengeluaran bahan makanan akan dilanjutkan sehingga akhir 2025 dengan skop galakan juga diperluas supaya turut merangkumi projek pertanian moden berasaskan Pertanian Persekitaran Terkawal.

Syarikat yang berasaskan teknologi pula akan menerima potongan cukai yang mana ia akan meliputi kos penyenaraian di pasaran utama Bursa Malaysia.

Dalam pada itu, Zafrul turut berkata, galakan cukai turut dilanjutkan bagi pembangunan harta intelek untuk syarikat teknologi tempatan, menggalakkan lebih ramai pelabur menyumbang kepada pendanaan modal, dan menarik syarikat aeroangkasa baru.

Selain itu, katanya, pengilang peralatan pengecasan kenderaan elektrik (EV) diberi pengecualian cukai pendapatan 100% ke atas pendapatan berkanun bermula 2023 hingga 2032 dan elaun cukai pelaburan sebanyak 100%

Potongan cukai juga akan diberi kepada penggiat industri yang mencipta kandungan kreatif berkualiti tinggi dan pihak yang menyumbang kepada NGO yang terlibat dalam pembangunan sukan di peringkat akar umbi.