- Iklan -
Berita

12 menteri PN hantar surat kepada Agong tak wajar, kata Umno

Setiausaha Agung Umno berkata surat itu tidak perlu disebar dan permasalahan demikian boleh dibincang dalam Kabinet.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Tindakan 12 anggota jemaah menteri daripada Perikatan Nasional (PN) menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk menyatakan pendirian mereka tidak bersetuju pilihan raya umum (PRU) diadakan tahun ini, disifatkan tidak wajar.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata tindakan menteri Kabinet daripada Bersatu dan PAS itu secara tidak langsung melambangkan ketidakpercayaan mereka terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan boleh menjejaskan keabsahan kerajaan. 

"Ia dilihat sebagai sesuatu yang tidak baik berlaku dalam pentadbiran sekarang bila  ada 12 menteri yang tulis surat sedemikian rupa walhal selaku ahli Kabinet mereka boleh menyelesaikan dalam mesyuarat Kabinet. 

“Semakin kurang keabsahan (dalam kerajaan) kalau 100% keabsahan sekarang tinggal 60% sahaja, 40% keabsahan sudah hilang. Sewajarnya surat itu tidak disebar, permasalahan seperti itu boleh dibincang dalam Kabinet," katanya kepada pemberita sebelum merasmikan mesyuarat Puteri Umno Bahagian Pontian di Dewan Umno Pontian, hari ini.

Ahmad mengulas tindakan 12 menteri daripada Bersatu dan PAS yang menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan ketidaksetujuan melaksanakan PRU15 tahun ini dengan alasan mahu memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad, yang juga ahli Parlimen Pontian berkata kesemua 191 bahagian membabitkan Wanita, Pemuda dan Puteri Umnoseluruh negara menggerakkan jentera pilihan raya bagi menghadapi PRU15 yang semakin hampir.