- Iklan -
Berita

PN bersedia walaupun tak setuju PRU15 musim tengkujuh, kata Muhyiddin

Pengerusi PN itu berkata manifesto dan nama calon akan diumumkan pada tempoh pilihan raya.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berucap pada acara penyerahan watikah ketua badan perhubungan kawasan Selangor di Shah Alam, Selangor malam tadi.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berucap pada acara penyerahan watikah ketua badan perhubungan kawasan Selangor di Shah Alam, Selangor malam tadi.

Walaupun tidak bersetuju dengan tindakan Umno mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan ketika musim tengkujuh, Perikatan Nasional (PN) sudah bersedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan, kata Muhyiddin Yassin.

Pengerusi PN itu berkata, jawatankuasa manifesto gabungan itu sudah mula merangka tawaran kepada rakyat Malaysia mencakupi semua bidang penting dengan mengambil kira situasi selepas pandemik, menangani masalah ekonomi yang sedang merosot serta bantuan kepada rakyat miskin.

"Ini penting dan kita akan umumkan manifesto pada tempoh pilihan raya," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Penyerahan Watikah Ketua Badan Perhubungan Kawasan Selangor di Shah Alam, Selangor malam tadi.

Ketika ditanya mengenai pemilihan calon dan pengagihan kerusi bagi PRU15, Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh berkata, perkara ini masih lagi dalam perbincangan dan akan diputuskan dalam mesyuarat PN.

Katanya, pemimpin parti komponen PN sentiasa terbuka untuk berbincang bagi memilih calon yang dirasakan sesuai menjadi wakil rakyat.

"Tiada rahsia antara kami dalam PN. Jika saya buat sesuatu, saya akan kembali melaporkan secara terperinci apa yang sedang berlaku kepada pemimpin parti lain.

"Ini menunjukkan keikhlasan PN," katanya.

Khabar angin tentang kemungkinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen minggu ini dilaporkan pelbagai media.

Sementara itu, Presiden Gerakan Dominic Lau ketika berucap pada majlis sama, menegaskan parti itu tidak akan membantah pemilihan calon yang dipersetujui parti komponen PN dan akan memberi sokongan penuh.

"Kita tidak kisah calon dari parti mana, asalkan dari PN, kita akan sokong," katanya.

Menyentuh mengenai jangkaan berdepan PRU15, Muhyiddin yakin PN akan peroleh kelebihan sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru atau lebih.

Katanya, faktor yang akan memberi kelebihan kepada PN ialah undi daripada golongan muda, penyertaan pengundi yang didaftarkan secara automatik dan penambahan pengundi Melayu.

"Jika semua faktor ini diambil kira ditambah dengan gerakan jentera PN yang bersungguh-sungguh dan situasi Umno dan Barisan Nasional (BN) yang semakin merosot, maka harapan untuk raih undi lebih besar adalah amat baik," kata beliau sambil menambah semua parti komponen setuju menggunakan logo PN pada PRU15.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata perkara yang paling dibimbangi PN pada masa ini ialah penglibatan pengundi atas pagar yang dikhuatiri tidak akan turun mengundi disebabkan keadaan semasa seperti banjir.

Katanya, situasi ini akan memberi kelebihan kepada Umno yang memiliki jumlah penyokong tegar yang lebih tinggi.

"Penyokong tegar sudah tentu akan turun tidak kira situasi," katanya. 

“Justeru kita perlu tumpu kepada mobilasi untuk memudahkan pengundi ini (atas pagar) turun."