- Iklan -
Berita

Menteri PN utus surat kepada Agong, bantah PRU15 tahun ini

Kesemua 12 anggota Kabinet itu difahamkan menulis surat kepada raja bagi menunjukkan jemaah menteri tidak sebulat suara terhadap tindakan membubarkan Parlimen pada tahun ini.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Perikatan Nasional menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi menyuarakan bantahan mereka terhadap tindakan membubarkan Parlimen lebih awal sebelum tamat penggal. Gambar: Bernama
Menteri Perikatan Nasional menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi menyuarakan bantahan mereka terhadap tindakan membubarkan Parlimen lebih awal sebelum tamat penggal. Gambar: Bernama

Anggota Kabinet Bersatu dan PAS menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan tidak setuju terhadap gesaan pemimpin Umno yang mahu Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lebih awal pada tahun ini.

Difahamkan, 12 menteri daripada kedua-dua parti itu yang merupakan sebahagian daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) menandatangani surat bertarikh 3 Oktober kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, bagi menunjukkan Kabinet tidak sebulat suara mengenai keputusan membubarkan Parlimen.

Surat yang diterima istana semalam, antara lain memetik ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai hujan lebat dan kejadian banjir berikutan peralihan monsun dalam beberapa minggu akan datang, di mana ia boleh menjejaskan pengundian PRU15 jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.

Surat itu juga turut menyeru supaya tumpuan diberikan kepada usaha pemulihan ekonomi berikutan lebih daripada dua tahun negara dilanda pandemik Covid-19.

Terdapat juga spekulasi kuat mengatakan Ismail Sabri Yaakob mungkin mengadap Agong bagi menasihatkan tarikh pembubaran Parlimen dalam masa beberapa hari akan datang, berikutan tekanan hebat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan sekutunya terhadap perdana menteri.

Zahid, bersama timbalannya Mohamad Hasan serta bekas perdana menteri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara menjadi penyokong kuat PRU15 diadakan tahun ini.

PRU15 sepatutnya diadakan tahun depan selepas penggal tamat.

PN dan gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) membantah sekeras-kerasnya sebarang tindakan untuk mengadakan pilihan raya, mengatakan tumpuan harus diberikan kepada pemulihan ekonomi yang baru pulih selepas pandemik, selain persediaan menghadapi banjir tahunan, di mana pada 2021, bencana alam itu meragut puluhan nyawa dan menyebabkan kerugian berbilion ringgit.

Semalam, PH mengumumkan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, tiga negeri yang diterajuinya tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun ini, mengatakan pilihan raya di peringkat negeri itu hanya akan diadakan tahun depan supaya pihak berkuasa boleh mengutamakan persiapan menghadapi banjir.

Minggu lalu, MetMalaysia memberi amaran hujan lebat dan ribut petir akan berterusan sehingga November, ketika negara bergerak melalui fasa peralihan monsun menandakan berakhirnya monsun barat daya.

“Semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang sesuai untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.
 
"Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman semenanjung, barat Sabah serta tengah Sarawak,” katanya dan menambah keadaan cuaca ini boleh menyebabkan banjir kilat dan kerosakan struktur yang tidak kukuh.