- Iklan -
Berita

Bekas pegawai bank nampak Jho Low dalam konvoi ke rumah Najib pada 2011

Bekas pengarah bukan eksekutif Ambank Cheah Tek Kuang bagaimanapun berkata beliau tidak berkomunikasi dengan ahli perniagaan dalam buruan itu ketika di rumah Najib.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho. Gambar: AFP
Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho. Gambar: AFP

Bekas pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low berada dalam konvoi kereta ke rumah Najib Razak di Bukit Tunku pada 2011.

Bekas pengarah bukan eksekutif AmBank Cheah Tek Kuang, 75, berkata beliau ke rumah Najib untuk membantu membuka akaun bank bekas perdana menteri itu.

Saksi pendakwaan ke-39 itu berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Najib membabitkan RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Cheah berkata pada Januari 2011, beliau diambil di rumah untuk dibawa ke rumah Najib dengan sebuah kereta.

"Apabila kereta ambil saya, ada konvoi dua tiga kereta. Saya dalam kereta dengan pemandu. Kereta lain ada orang lain. Sampai di rumah Najib, saya nampak Jho Low dalam kereta lain," katanya.

Cheah bagaimanapun berkata beliau tidak berkomunikasi dengan Jho Low semasa di rumah Najib.

Beliau berkata tidak banyak yang diketahuinya tentang Jho Low sebelum 2011, dan ahli perniagaan itu tidak pernah menjadi pelanggan bank tersebut.

"Saya hanya dua atau tiga kali berjumpa dengannya untuk mesyuarat makan tengah hari. Tetapi beliau mempunyai tabiat datang lewat," katanya sambil menambah Jho Low pernah lewat 30 minit.

Saksi itu turut menafikan pernah menerima hadiah telefon BlackBerry daripada Jho Low.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.