- Iklan -
Berita

PN tolak PRU awal ketika PM terus digesa bubar Parlimen

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin turut menggesa jemaah menteri dan ahli Parlimennya untuk bertegas dengan pendirian yang sama.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan pendirian menolak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan lebih awal, menggesa jemaah menterinya bertegas dalam mesyuarat Kabinet ketika negara bersiap sedia berdepan musim banjir berikutan monsun timur laut yang bermula bulan ini.

Dalam sebuah kenyataan, Muhyiddin berkata mengadakan PRU15 pada musim banjir adalah tidak wajar kerana ia akan menyusahkan rakyat.

“Kerajaan mesti memberi fokus kepada persiapan menghadapi musim bajir di samping terus memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan proses pemulihan negara pasca pandemik.

“Rakyat sedang terbeban dengan masalah inflasi, kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit di samping proses pemulihan negara yang masih perlahan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata kerajaan perlu menumpukan penyelesaian masalah tersebut dengan dalam Bajet 2023 yang akan dibentang.

Beliau turut menggesa jemaah menteri dan ahli Parlimen dari PN supaya bertegas dalam mengambil pendirian yang sama.

“Anggota jemaah menteri dari parti PN telah diminta untuk mempertegaskan pendirian ini dalam mesyuarat jemaah menteri.

“Ahli Parlimen PN juga diminta mengambil pendirian yang sama.”