- Iklan -
Berita

PAS bantah PRU15 diadakan lebih awal

Abdul Hadi Awang berkata musim tengkujuh akan menyukarkan rakyat dan jentera kerajaan jika pilihan raya umum diadakan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

PAS menegaskan untuk menolak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lebih awal, sehari selepas Umno memberikan tiga syarat untuk kedua-dua parti itu kembali berunding bagi mengadakan kerjasama.

Dalam sebuah kenyataan, Hadi berkata  adalah tidak wajar pembubaran Parlimen dibuat ketika negara masih dalam fasa pemulihan ekonomi selain musim tengkujuh yang bakal menyukarkan rakyat dan jentera kerajaan .

“PAS tetap akan meneruskan perbincangan dan rundingan dengan semua pihak ke arah menjayakan agenda perpaduan ummah, bagi mencapai titik persamaan dan mengelakkan pertembungan sesama sendiri, sekali gus mengalahkan Pakatan Harapan (PH).

“PAS berpendirian dalam apa jua keadaan, kepentingan negara dan rakyat hendaklah didahulukan, di samping langkah-langkah pemulihan ekonomi yang perlu terus disokong, khususnya melalui Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan.”

PAS berulang kali menyatakan pendirian menolak PRU awal yang dilihat bercanggah dengan gesaan sebahagian pemimpin Umno yang terus menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen sebelum tempoh penggal tamat.

Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata partinya akan meneruskan rundingan kerajasama dengan PAS jika parti itu menepati tiga syarat.

Bagaimanapun, apakah kandungan tiga syarat yang dikemukakan kepada Hadi oleh Zahid itu tidak dinyatakan secara terperinci.

"Saya telah nyatakan itu (kepada PAS), lebih baik saya tidak menyebutkannya” 

"Mereka (PAS) mengetahui syarat-syarat itu dan kalau mereka memenuhi syarat-syarat itu baru rundingan boleh dilakukan dengan mereka," kata Zahid yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi