- Iklan -
Berita

Mahkamah benarkan Najib hadir perbicaraan saman sivil terhadap Tommy Thomas

Hakim Ahmad Bache memutuskan Najib selaku plaintif mempunyai hak untuk mendengar kes sivilnya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Najib Razak untuk menghadiri perbicaraan berkaitan saman sivil RM1.9 juta terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas pada 21 Oktober.

Hakim Ahmad Bache memutuskan bahawa, Najib selaku plaintif mempunyai hak untuk mendengar kes sivilnya.

“Jika perbicaraan kes jenayah, perintah untuk mengemukakan mungkin boleh dibuat. Ia (permohonan pembatalan) mungkin bersifat interlokutori. Mahkamah ini setuju dengan permohonan kamu, mahkamah benarkan perintah seperti dipohon,” kata hakim Ahmad menerusi prosiding secara dalam talian hari ini.

Pada 21 Oktober, mahkamah dijadualkan untuk menyambung mendengar permohonan Thomas untuk membatalkan saman Najib.

Pada awalnya, peguam Najib, Yudistra Darma Dorai menyatakan bahawa mahkamah mempunyai kuasa untuk membenarkan permohonan exparte oleh anak gumannya, yang pada ketika ini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang bagi menghadiri perbicaraan mahkamah mengikut Seksyen 30 Akta Penjara.

Seksyen 30 menyatakan bahawa bila masa kehadiran seorang banduan dikehendaki dalam sesuatu mahkamah yang mempunyai bidang kuasa sivil atau jenayah, mahkamah itu boleh mengemukakan suatu perintah dalam bentuk yang ditetapkan dialamatkan kepada pegawai yang Menjaga yang menghendaki  pengemukaan banduan itu pada masa dan tempat yang dinyatakan dalam perintah.

Pada 22 Oktober 2021 Najib menfailkan saman mendakwa bahawa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada perbuatan yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu

Najib, 69, mendakwa bahawa dia telah dituduh secara salah di mahkamah dalam kes 1Malaysia Development Berhad, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Beliau memohon pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan penyelewengan dalam jawatan awam serta ganti rugi RM1.9 juta, termasuk yuran rundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta bagi menangani pendakwaan terhadapnya.