- Iklan -
Berita

Umno beri 3 syarat untuk runding kembali dengan PAS

Presiden Umno berkata tiga syarat berkenaan telah dikemukakan kepada PAS ketika pertemuan dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama dengan PAS pada PRU15 akan datang akan kekal 'di takuk lama' tanpa sebarang keputusan rasmi dari parti Islam itu. Gambar: AFP
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama dengan PAS pada PRU15 akan datang akan kekal 'di takuk lama' tanpa sebarang keputusan rasmi dari parti Islam itu. Gambar: AFP

Umno akan kembali ke meja rundingan dengan PAS berhubung kerjasama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) jika parti itu memenuhi tiga syarat ditetapkan, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid berkata tiga syarat berkenaan telah dikemukakan kepada PAS ketika beliau bertemu dengan presiden parti itu Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Ditanya apakah tiga syarat tersebut, Zahid berkata:"Saya telah nyatakan itu (kepada PAS), lebih baik saya tidak menyebutkannya” 

"Mereka (PAS) mengetahui syarat-syarat itu dan kalau mereka memenuhi syarat-syarat itu baharu rundingan boleh dilakukan dengan mereka," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutup “Boot Camp” BNComms semalam.

Zahid, yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata permuafakatan antara Umno dan PAS untuk menghadapi PRU15 akan “kekal di takuk lama” jika tiada keputusan rasmi daripada PAS.

"Selagi PAS tidak membuat keputusan secara rasmi selagi itu kita tidak dapat merungkaikan apa juga isu dan perkara-perkara yang menjadi perbezaan antara kedua-dua parti," katanya.