- Iklan -
Berita

Gesaan ganti Santiago cetus semula debat politik kaum, dinasti dalam DAP

Persoalan timbul di sebalik gesaan supaya ahli Parlimen Klang itu digantikan oleh Adun Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah.

Teoh Yee Shen
2 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin DAP termasuk Pengerusinya, Lim Guan Eng bergambar dengan ahli parti dalam majlis pelancaran jentera pilihan raya di Shah Alam pada 25 September lalu. Gambar: Bernama
Pemimpin DAP termasuk Pengerusinya, Lim Guan Eng bergambar dengan ahli parti dalam majlis pelancaran jentera pilihan raya di Shah Alam pada 25 September lalu. Gambar: Bernama

Kempen senyap dalam DAP bagi menghalang ahli Ahli Parlimen Klang Charles Santiago yang menyandang kerusi itu selama tiga penggal daripada bertanding semula pada pilihan raya umum akan datang kembali menimbulkan isu mengenai penguasaan "dinasti Lim" yang merujuk kepada Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng dalam parti itu, pemimpin dua beranak yang menguasai kepimpinan tertinggi parti selama beberapa dekad.

Menerusi sumber kanan DAP, MalaysiaNow dapat mengesahkan laporan berita baru-baru ini yang membuat spekulasi bahawa cawangan-cawangan DAP Selangor mahu menggantikan Santiago dengan Adun Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah.

Santiago tidak pernah memberikan kenyataan secara terus terang mengenai dakwaan tersebut, namun berkata beliau tidak bercadang untuk mengosongkan kerusi Parlimen yang diwakilinya sejak 2008, di mana Barisan Nasional (BN) berjaya dijatuhkan daripada pentadbiran kerajaan Selangor oleh gabungan tiga parti terdiri dari PKR, DAP dan PAS.

Satu sumber parti itu berkata, gesaan untuk meletakkan Ean Yong telah menimbulkan rasa tidak senang daripada beberapa pemimpin DAP Selangor yang "tidak sebulu dengan Lim".

Sumber turut memetik pelbagai mesej yang diterima daripada beberapa individu dan kebanyakannya tidak dapat dikenal pasti dan juga ahli parti yang mempersoalkan rekod prestasi Ean Yong sebagai Adun.

“Tidak boleh diterima ada seseorang yang memegang jawatan tinggi selama lebih daripada 10 tahun namun tiada sebarang rekod prestasi yang terbukti untuk bertanding di sini," kata satu mesej yang ditulis dalam bahasa Mandarin.

Ketika dihubungi, Ean Yong berkata beliau tiada ulasan mengenai spekulasi pencalonannya.

Ada juga yang merasakan Santiago menjadi sasaran kerana kaum, berdasarkan dakwaan DAP sudah biasa mengenepikan pemimpin daripada kaum India walaupun parti itu mendakwa mewakili pelbagai kaum.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Santiago sendiri turut menolak dakwaan sedemikian.

"DAP adalah parti demokrasi sosial yang menggalakkan keadilan, kesaksamaan dan kesetaraan. 

“Dan saya sangat yakin tiada tempat untuk unsur perkauman dalam parti," katanya kepada MalaysiaNow.

Mereka yang biasa dengan isu dalaman DAP berkata sememangnya sudah diketahui Santiago tidak pernah “sebulu” dengan Guan Eng yang merupakan orang kuat parti itu, sambil menambah berbanding bahawa Ean Yong, yang merupakan “anak emasnya“.

Mereka berkata, sangat jarang ahli Parlimen dipindahkan untuk bertanding di peringkat negeri, lebih-lebih lagi apabila seseorang itu tidak boleh memberi nilai di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Dalam beberapa kes, boleh difahami calon Melayu dari DAP lebih suka bertanding kerusi DUN berbanding Parlimen, dengan anggapan sekiranya calon MB tidak cukup, Adun Melayu DAP boleh ditawarkan," kata sumber DAP Perak.

Seorang bekas ahli politik kanan DAP juga berkata beliau tidak terkejut dengan gesaan supaya Santiago digantikan, menjelaskan kewujudan nepotisme dan kronisme dalam parti itu adalah satu “rahsia terbuka”.

“Teng Chang Khim adalah contoh klasik,” katanya merujuk kepada ahli veteran DAP yang kini menjadi Adun Bandar Baru Klang.

"Sekurang-kurangnya 20 tahun lalu, beliau aktif, dan mempunyai interaksi yang baik dengan orang ramai," tambahnya. 

"Tetapi apa yang berlaku? Beliau diketepikan. Beliau bermula di negeri ini, tetapi tidak boleh naik.

"Jika anda seorang kroni, anda akan naik cepat," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata beberapa pemimpin DAP dilihat menaiki tangga karier politik dalam parti dengan pantas, walaupun baru menyertai parti itu pada 2008.

“Salah seorang daripada mereka gagal dapat tempat dalam pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP tahun ini, tetapi dia terus dilantik untuk jawatan kanan yang boleh mempengaruhi keputusan parti."