- Iklan -
Berita

KKM sediakan draf nyah jenayah kesalahan cubaan bunuh diri

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata KKM telah menerima laporan hasil kajian Jabatan Peguam Negara berkaitan cadangan untuk menyah jenayah kesalahan cubaan bunuh diri.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama

Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyediakan draf memorandum jemaah menteri (MJM) baru, berhubung permohonan pemansuhan Seksyen 309 Kanun Keseksaan [Akta 574] untuk tidak menjenayahkan kesalahan cubaan bunuh diri, seperti yang disarankan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata KKM telah menerima laporan hasil kajian oleh pihak AGC berkaitan cadangan dekriminalisasi bagi cubaan bunuh diri.

Beliau berkata hasil kajian pihak AGC itu, akan dibincangkan dalam sesi libat urus dengan pihak berkepentingan seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), polia, Angkatan Tentera Malaysia dan AGC, untuk dimasukkan dalam draf MJM sebelum dibawa ke mesyuarat Kabinet.

“Pada waktu saya bawa MJM ini (sebelum ini), nampak macam KDN tak berapa setuju. Kita tengoklah sama ada mereka boleh dipengaruhi untuk menyokong usaha kita decriminalised cubaan bunuh diri ini,” katanya kepada media selepas Majlis Agihan Dana Bagi Program Kesihatan Mental kepada Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO)di Putrajaya semalam.

MJM sebelum ini merupakan usaha nyah jenayah cubaan bunuh diri dan langkah meminda atau memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang mensabitkan tingkah laku itu sebagai kesalahan jenayah.

Di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan, mereka yang didapati cuba membunuh diri boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Khairy berkata sama ada pindaan terhadap Akta 574 itu dapat dibentangkan dalam sesi Parlimen akan datang, bergantung kepada keputusan mesyuarat Jemaah Menteri apabila beliau membawa MJM itu untuk dibincangkan.

Sementara itu, Khairy berkata KKM telah mengemukakan permohonan dalam Bajet 2023 untuk kerajaan menambah peruntukan bagi program kesihatan mental, kaunseling dan psikososial sebanyak 2.5% daripada peruntukan tahun ini berjumlah RM408.58 juta. 

“Dari masa ke semasa kita cuba tingkat perkhidmatan terutamanya kesihatan mental.