- Iklan -
Berita

Ismail kekal 'poster boy' Umno, tiada perbincangan Zahid sebagai PM, kata naib presiden

Mahdzir Khalid berkata Ismail Sabri Yaakob akan diangkat menjadi perdana menteri ke-10 jika Barisan Nasional memenangi PRU15.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid berucap di sebuah majlis di Putrajaya semalam. Gambar: Bernama
Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid berucap di sebuah majlis di Putrajaya semalam. Gambar: Bernama

Umno tidak pernah membincangkan untuk meletakkan presidennya, Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon perdana menteri (PM) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Naib Presiden Mahdzir Khalid.

Beliau yang juga menteri pembangunan luar bandar berkata Mesyuarat Umno sebelum ini telah memutuskan bahawa Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai calon PM ke-10 sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi PRU15.

“Setakat ini keputusan yang kita buat di peringkat parti ialah Ismail Sabri Yaakob adalah ‘poster boy’ dan calon PM selepas PRU15.

Saya sebagai naib presiden parti mengatakan tidak pernah ada mesyuarat (bagi perbincangan Ahmad Zahid sebagai PM),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan Kesatuan Kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Semenanjung Malaysia Kedua semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan tular di media sosial bahawa Zahid akan diangkat menjadi perdana menteri ke-10 pada PRU15 selain mendakwa perkara berkenaan akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno pada 30 September.

Mahdzir menegaskan penularan berita berkenaan merupakan perbuatan yang cuba melaga-lagakan kepimpinan Umno oleh sesetengah pihak dengan niat tidak baik. 

Sebelum ini, Zahid yang juga pengerusi BN memberi bayangan bahawa Ismail kekal sebagai “poster boy” dan calon perdana menteri BN pada PRU15.