- Iklan -
Berita

Menteri Miti akan wakili PM ke upacara pengebumian Shinzo Abe

Mohamed Azmin Ali akan berada di Jepun pada 27 September bagi Upacara Pengebumian Negara bekas perdana menteri Jepun itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali bersama bekas perdana menteri Jepun Shinzo Abe pada Mac lalu. Abe meninggal dunia selepas ditembak pada 8 Julai ketika berucap di Stesen Yamato-Saidaiji, Nara. Gambar: Facebook
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali bersama bekas perdana menteri Jepun Shinzo Abe pada Mac lalu. Abe meninggal dunia selepas ditembak pada 8 Julai ketika berucap di Stesen Yamato-Saidaiji, Nara. Gambar: Facebook

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali akan mewakili Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, ke Upacara Pengebumian Negara bekas perdana menteri Jepun, mendiang Shinzo Abe, pada 27 September di Nippon Budokan, Tokyo.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan upacara itu juga merangkumi sesi pertemuan bersama Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, dengan kehadiran Ketua Setiausaha Kabinet Hirokazu Matsuno, dan Menteri Luar Yoshimasa Hayashi, diikuti pertemuan ringkas bagi menyampaikan ucapan takziah kepada balu mendiang Abe, Akie Abe, di Akasaka Palace, Tokyo.

Abe, perdana menteri paling lama berkhidmat di Jepun, meninggal dunia selepas ditembak ketika menyampaikan ucapan dalam kempen pilihan raya di Nara pada 8 Julai.

Semasa menjadi perdana menteri Jepun, Abe pernah melawat Malaysia sebanyak tiga kali dan memainkan peranan penting dalam meningkatkan hubungan dua hala termasuk mengukuhkan lagi Dasar Pandang ke Timur (DPT). 

Lawatan terakhir beliau ke Malaysia selaku utusan khas perdana menteri Jepun bagi memperingati ulang tahun ke-40 DPT, menyaksikan Abe mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dan majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Mac 2022.

Pada 13 Julai, perdana menteri dan Menteri Luar Saifuddin Abdullah menandatangani buku takziah di Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur, menurut kenyataan itu.