- Iklan -
Berita

Wan Saiful berjaya dapatkan pasport untuk lawatan kerja ke Jepun

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu membuat lawatan kerja rasmi selama 10 hari ke negara berkenan bersama jawatankuasa pilihan khas parlimen mengenai infrastruktur, pengangkutan dan komunikasi.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 21 Februari.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 21 Februari.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan untuk mendapatkan sementara pasportnya bagi mengikuti lawatan kerja ke Jepun. 

Hakim Rozina Ayob membenarkan permohonan Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mendapatkan sementara pasportnya dari 23 September hingga 2 Oktober ini, bagi membolehkan beliau mengikuti urusan rasmi Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur Pengangkutan dan Komunikasi Parlimen Malaysia ke negara tersebut.

Terdahulu, peguam Amer Hamzah Arshad, yang mewakili Wan Saiful memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya menerima surat daripada Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat untuk membincangkan mengenai itinerari lawatan kerja itu pada 14 Sept ini dan memohon pasport dipulangkan sementara kepada anak guamnya. 

Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mohaide berkata pihaknya tidak membantah permohonan itu dengan syarat Wan Saiful membuat aku janji untuk menyerahkan salinan tiket pergi balik dan surat tambahan daripada Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat sebelum berangkat.

Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful, 48, mengaku tidak bersalah meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek “Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur” daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta. 

Beliau juga dituduh menerima bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek itu.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana, di Kuala Lumpur, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku, di Kuala Lumpur, antara 8 Julai 2022 hingga 30 September 2022.