- Iklan -
Berita

Ramai pelajar dijangka tinggalkan universiti akibat kekangan kewangan

Segelintir pelajar universiti awam difahamkan sudah meninggalkan pengajian, dan ada juga yang menyuarakan kebimbangan berhubung kos sara hidup dan cabaran kewangan lain.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Pelajar menggunakan komputer riba mereka di asrama universiti di Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Pelajar menggunakan komputer riba mereka di asrama universiti di Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Para pelajar di universiti-universiti awam dalam negara dijangka tidak keberatan untuk menamatkan pengajian masing-masing akibat dihimpit dengan kos sara hidup dan krisis kewangan individu yang tidak menentu.

Seorang bekas pensyarah dan pentadbir jabatan di sebuah universiti awam berkata, sebilangan kecil pelajar sudah dikesan meninggalkan pengajian disebabkan tidak mampu untuk menyara diri terutamanya di kawasan-kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Selangor.

Katanya, dalam sedikit masa lagi sekiranya masalah ekonomi dan inflasi tidak diatasi dengan baik trend tersebut berkemungkinan besar melibatkan jumlah pelajar yang lebih ramai.

"Ini macam bom jangka. Apabila pelajar susah nak hidup, nak makan pun tidak ada wang. Kita suruh mereka diam kerana merasakan diri kita lagi susah berbanding mereka.

"Lama kelamaan mereka juga malas mengadu kerana takut dinilai dengan komen yang tidak baik. Akhirnya mereka keluar dan berdepan realiti yang lebih mencabar. Bekerja atau menganggur tanpa ijazah.

"Bila ini berlaku, universiti tidak lagi relevan," katanya kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

Beliau yang pernah menjadi pensyarah sambilan dan menjawat jawatan tinggi dalam Jabatan Pendaftaran berkata rakan-rakan dan bekas pekerja sering berkongsi perkara itu kepadanya dengan mengatakan pelajar amat terdesak untuk mendapatkan sumber kewangan tambahan jika mahu meneruskan pengajian.

Lebih merisaukan lagi, perkara sebegitu sepatutnya sudah lama dikesan melalui laporan-laporan berita oleh pihak media.

Bagaimanapun, katanya, hanya segelintir yang mampu memahami realiti yang berlaku.

"Apabila media lapor pelajar ini berhenti belajar kerana mahu bantu bapa. Pelajar ini pula berhenti kerana jaga ibu sakit.  

"Apa maknanya? Mereka ini susah. Tidak mampu. Tiada siapa lagi yang boleh salur wang jika terus belajar."

Perkembangan itu katanya, memberikan gambaran seolah-olah masyarakat mengandaikan pelajar tersebut hanya mempunyai satu masalah iaitu ibu atau bapa sakit tanpa mengambil kira isu yang sebenar iaitu status kewangan diri dan keluarga.

Pada Julai, Kementerian Pendidkan Tinggi (KPT) mengumumkan lebih 30,000 atau 2.6% daripada lebih 1.1 juta mahasiswa di universiti awam gagal menamatkan pengajian ketika pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021.

Sistem rekod itu menyebut para pelajar gagal menamatkan pengajian disebabkan masalah kesihatan, isu peribadi, gagal peperiksaan dan gagal mendaftar.

Atas sebab itu, bekas pentadbir jabatan pendaftaran itu menegaskan KPT dan universiti menjalankan kaji selidik yang lebih mendalam mengenai hal ini.

Katanya, setiap pelajar yang meninggalkan universiti perlu ditemu bual secara berfokus bagi mendapatkan jawapan sebenar kepada permasalahan masing-masing.  

Pihak universiti katanya, tidak boleh bergantung kepada jawapan yang disifatkan "berpura-pura" dikhuatiri pelajar berasa malu atau tidak mahu berkongsi.

"Melainkan kes yang memang jelas dia ada masalah kesihatan kerana ada laporan hospital. Tetapi masalah keluarga? Boleh jadi mereka ini boleh dibantu dan berjaya tamatkan pengajian.

"Ini masalah sistem yang kita ada. Ketika proses kemasukan, semua benda kita minta. Ketika pelajar melangkah keluar dari universiti, kita tidak peduli."

Pelajar makin terkesan

Tinjauan MalaysiaNow di media sosial mendapati rata-rata pelajar universiti meluahkan kebimbangan masing-masing terhadap sesi akademik yang akan berlangsung dalam masa terdekat.

Antara masalah yang dihadapi adalah mengenai kemasukan wang biasiswa yang lambat, tiada kekosongan kediaman dan ura-ura kenaikan bayaran yuran bagi beberapa perkara seperti bil elektrik dan fasiliti.

Seorang pelajar menulis di Facebooknya pada minggu lalu mengenai bayaran deposit rumah sewa di Shah Alam, Selangor melebihi RM9,000, satu jumlah yang dikatakan tidak masuk akal untuk dibayar oleh golongan pelajar.

Sekiranya tiada wang pendahuluan disediakan, kebanyakan pelajar mungkin tiada tempat tinggal sepanjang menjalani pengajian di universiti selama satu semester.

Ketika dihubungi, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Alinur Ahlam berkata tidak dinafikan kerajaan banyak menyalurkan bantuan dan pelbagai inisiatif untuk memastikan pelajar dapat belajar dalam keadaan baik meskipun berdepan cabaran ekonomi.

Bagaimanapun, Alinur menyatakan lebih baik sekiranya bantuan lebih bersasar diberikan kepada pelajar yang benar-benar memerlukan dari segi kewangan.

"Tetapi di sini perlukan bantuan dari pihak universiti untuk kenal pasti mengapa mereka ini berhenti belajar.

"Dan maklumkan kepada kementerian supaya bantuan yang ingin disalurkan ini tepat kepada mereka yang memerlukan."

Universiti tidak mampu membantu

Mengulas lanjut, bekas pensyarah sambilan selama lebih 10 tahun itu memberitahu, universiti-universiti awam tidak lagi mampu menyediakan inisiatif kewangan dan bantuan kepada pelajar dengan kekerapan yang banyak kerana dana yang amat terhad.

Katanya, hampir semua universiti di seluruh negara sedang "mati kutu" memikirkan bentuk-bentuk bantuan yang boleh disumbangkan kepada pelajar bagi memastikan mereka boleh menjalani kehidupan harian di kampus dengan lebih baik.

Atas sebab itu, katanya, tidak menghairankan mengapa universiti kini dilihat mahu mencari keuntungan dan penaja untuk program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) agar dapat menampung kos bantuan kepada pelajar masing-masing.

"Kalau tidak percaya, cuba anda tanyakan mana-mana timbalan naib canselor universiti. Sudah pasti tiada siapa yang akan berikan jawapan.

"Jika ada, jawapannya mungkin masih berselindung daripada realiti yang berlaku."

Beberapa pengurusan tertinggi universiti awam yang dihubungi MalaysiaNow tidak memberikan respons apabila ditanya mengenai perkara ini.