- Iklan -
Berita

Mahkamah gantung penghakiman kes tunggakan cukai RM1.7 bilion Najib, anak

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata kebenaran untuk menggantung pelaksanaan penghakiman itu diberikan sementara menunggu pelupusan rayuan kedua-dua mereka.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Jalur Gemilang berkibaran di perkarangan Istana Kehakiman yang menempatkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya. Gambar: Bernama
Jalur Gemilang berkibaran di perkarangan Istana Kehakiman yang menempatkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya. Gambar: Bernama

Najib Razak dan anak lelakinya Mohd Nazifuddin hari ini berjaya mendapatkan perintah untuk menggantung pelaksanaan penghakiman terus diperoleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kes cukai tertunggak berjumlah lebih RM1.7 bilion dihadapi mereka sementara menunggu pelupusan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Perintah itu direkodkan oleh panel tiga hakim terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dan hakim Mahkamah Persekutuan Mary Lim Thiam Suan dan Rhodzariah Bujang.

"Perintah untuk menggantung pelaksanaan penghakiman terus dibenarkan sementara menunggu pelupusan rayuan kedua-dua perayu di Mahkamah Persekutuan," kata Tengku Maimun dalam prosiding yang dijalankan melalui sidang video, hari ini.

Terdahulu, peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee, yang mewakili Najib dan Nazifuddin memaklumkan kepada panel tiga hakim bahawa LHDN selaku responden tidak membantah permohonan dua beranak itu untuk menggantung pelaksanaan penghakiman terus diperoleh LHDN sementara menunggu rayuan mereka diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Perkara itu turut disahkan oleh peguam kanan hasil Al-Hummidallah Idrus mewakili LHDN.

Pada 10 Mei lepas, Najib dan Nazifuddin diberi kebenaran oleh Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN memasukkan penghakiman terus itu bagi mendapatkan semula lebih RM1.7 bilion cukai tertunggak daripada mereka.

Pada 2020, dua Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta dari Nazifuddin, bagi tempoh antara 2011 dan 2017.

Penghakiman terus adalah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Najib dan Nazifuddin gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada 9 September 2021 untuk mengenepikan penghakiman terus itu.