- Iklan -
Berita

Mesyuarat Kabinet akan bincang PRU15 pada Rabu, kata PM

Ismail Sabri Yaakob berkata isu ekonomi negara adalah tanggungjawab bersama, dan kegagalannya ditanggung semua pihak dalam kerajaan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menjawab soalan pemberita di Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menjawab soalan pemberita di Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu ini, selain perkembangan ekonomi negara.

Beliau berkata memandangkan Rabu ini terdapat mesyuarat Kabinet sebelum beliau berlepas ke New York, Amerika Syarikat bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), mungkin perbincangan berkaitan PRU15 itu dengan Kabinet boleh diadakan terlebih dahulu sebelum pertemuan "top five" Umno bagi membincangkan perihal PRU15.

Ismail berkata Mesyuarat Kabinet mempunyai wakil pelbagai parti termasuk Umno, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Bersatu bagi membolehkan hal berkaitan PRU15 dibincangkan.

“Kabinet ada wakil parti Bersatu, GPS dan Umno, kita akan bawa (hal PRU) dalam (mesyuarat) Kabinet,” katanya ketika ditanya media adakah perkara berkaitan PRU akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, selepas melancarkan Dasar Tenaga Negara 2022-2040 hari ini.

Mengikut Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat jemaah menteri atau nasihat seseorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am jemaah menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan itu. 

Ismail berkata beliau masih belum mengadakan pertemuan dengan top five Umno bagi membincangkan hal berkaitan PRU15.

“Dari segi PRU, waktu perhimpunan Barisan Nasional saya ada sebut PRU akan diadakan dalam waktu terdekat… beri masa dan tunggulah sehingga saya jumpa top five dan presiden Umno,” katanya.

Top five merujuk kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Mohamed Khaled Nordin, Mahdzir Khalid dan Ismail sendiri.

Ditanya bila pertemuan dengan top five akan dilakukan, Ismail Sabri berkata kebiasaanya pertemuan itu akan dibuat sebelum Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno pada 30 September ini.

“Biasanya kalau MT malam, petang itu top five dan biro politik sekali tetapi saya belum dapat tarikh lagi tetapi MT telah ada tarikh iaitu 30 September malam. Mungkin petang itu kita akan bincang,” katanya.

Sabtu lepas, Ismail pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN berkata tarikh pembubaran Parlimen akan diumumkan tidak lama lagi, untuk memberi laluan kepada PRU15.

Mengenai kenyataan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang meminta PRU diadakan segera jika perdana menteri gagal menguruskan ekonomi negara, Ismail berkata kerajaan mempunyai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed untuk menjaga hal ehwal ekonomi.

“Dari segi ekonomi, Mustapa ada dengan saya yang uruskan ekonomi, kita juga ada Majlis Pemulihan Negara (MPN) dipengerusikan Muhyiddin. Jadi tanggungjawab ini tanggungjawab bersama… kalau gagal bermakna semua gagal… MPN pun gagal,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin dalam catatan di Facebook miliknya berkata jika Ismail terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya diadakan supaya sebuah kerajaan baru yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat.