- Iklan -
Berita

Apakah transaksi tunai masih penting di era digital?

Persoalan timbul mengenai kaedah urus niaga secara tunai ketika transaksi digital semakin meningkat sementara tindakan menolak wang tunai sepenuhnya adalah menyanggahi undang-undang.

Teoh Yee Shen
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang pelanggan mengimbas kod QR untuk membuat pembayaran di sebuah kedai cenderahati di Ipoh, Perak.
Seorang pelanggan mengimbas kod QR untuk membuat pembayaran di sebuah kedai cenderahati di Ipoh, Perak.

Di sebuah kedai di pusat beli-belah utama di Kuala Lumpur, papan tanda di kaunter memberitahu pelanggan bahawa pembayaran digital lebih diutamakan.

Walaupun wang tunai masih diterima, bayaran mesti dibuat dalam jumlah yang tepat.

Menurut pekerja kedai, mereka tidak mempunyai duit baki untuk dipulangkan kepada pelanggan.

Sementara itu, di kawasan parkir kenderaannya pula hanya transaksi digital digunakan.

Situasi sedemikian bukan perkara baru di Lembah Klang atau di mana-mana tempat di negara ini, kerana transaksi digital terus mendapat tempatnya selepas pandemik Covid-19 melanda dunia.

Dengan peningkatan kadar pembayaran secara digital sehingga ia menjadi sebahagian daripada norma baru dalam negara, secara tidak langsung ia turut menimbulkan persoalan apakah wang tunai masih penting dalam transaksi urusniaga atau kehidupan seharian.

Bercakap kepada MalaysiaNow, peguam Derek Fernandez berkata pihak kedai tidak boleh menolak sepenuhnya pembayaran secara tunai.

“Wang tunai kita adalah sebahagian daripada kedaulatan negara,” katanya. 

“Wang tunai tidak boleh ditolak (sebagai cara transaksi), sama juga seperti satu kedai di Malaysia tidak boleh memberitahu pelanggan bahawa ia tidak menerima ringgit, hanya dolar AS."

Selain dari sudut undang-undang, terdapat juga kebimbangan trend untuk sepenuhnya menggunakan sistem digital dalam transaksi urus niaga akan mengurangkan keberkesanan wang tunai sebagai medium pertukaran.

Namun, bagi seorang pegawai bank terkemuka, peralihan cara pembayaran ke arah digital tidak dapat dielakkan.

Ketua Eksekutif Asian Institute of Chartered Bankers Edward Ling turut mempersoalkan persepsi bahawa peralihan tersebut akan menjejaskan kekuatan wang tunai.

“Tiada seorang pun daripada kita boleh menafikan betapa cepatnya sesuatu boleh berubah dan berkembang,” katanya dan memberi contoh sistem barter yang akhirnya digantikan dengan penggunaan emas dan perak dan akhirnya, sistem wang tunai.

Bagaimanapun, beliau berkata adalah salah di sisi undang-undang untuk seseorang enggan menerima bayaran tunai.

"Namun dari sudut kemudahan, ia memang baik,” tambahnya.

Sebagai pelengkap

Satu lagi persoalan yang timbul apakah sistem pembayaran hanya perlu dilihat dalam bentuk binari semata-mata, iaitu sama ada secara tunai atau tanpa sebarang tunai.

Bagi Fernandez, kedua-dua kaedah itu harus dilihat sebagai pelengkap antara satu sama lain dan tidak bertentangan.

Kedua-dua cara transaksi mempunyai kebaikan dan keburukannya yang tersendiri.

 Menurut Fernandez, apabila melibatkan pembayaran tunai, tiada data terlibat dalam urus niaga yang boleh disalah guna dalam penipuan.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia mungkin masih tidak bersedia untuk beralih kepada masyarakat tanpa tunai sepenuhnya.

Beliau berkata langkah sedemikian akan menyebabkan negara lebih terdedah dengan ancaman penggodaman dan pencurian data.

"Negara musuh atau penjenayah yang pandai dari segi teknologi boleh lumpuhkan sistem kewangan kita dan runtuhkan ekonomi jika kita guna sistem tanpa tunai ini sepenuhnya,” katanya.

Dari sudut logistik pula, penjenayah lebih mudah menyembunyikan identiti mereka dan menggodam akaun dalam talian berbanding memecah masuk bilik kebal bank atau rumah.

"Peningkatan jenayah dan penipuan siber ketika ini namun hanya beberapa pendakwaan sahaja berjaya dibuat membuktikan perkara ini,” katanya.

Namun begitu, pembayaran secara digital mempunyai kelebihan dari sudut kepantasan dan kemudahannya berbanding transaksi tunai.

"Semuanya berkait dengan soal keseimbangan dalam meminimumkan risiko," kata Fernandez.

"Pembayaran digital boleh digalakkan jika seseorang bersedia menerima kelemahannya, namun perkara ini tidak boleh dilaksanakan secara paksa."

Namun akhirnya, kata Fernandez, ia adalah isu kedaulatan negara.

"Sehingga kita sudah bangunkan teknologi sendiri untuk memudahkan pembayaran tanpa tunai yang selamat dan terjamin, kita tak boleh membiarkan masa depan negara bergantung semata-mata dengan perisian atau kelengkapan yang dibangunkan oleh negara asing yang mempunyai kepentingan geopolitik."

Ling juga bersetuju bahawa wang tunai tidak akan hilang secara tiba-tiba.

Namun katanya, lambat laun persekitaran tanpa tunai mungkin tidak dapat dielakkan.

"Tiada siapa yang 100% bersedia," katanya. 

“Namun adakah kita perlu melakukannya? Ya."

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.