- Iklan -
Berita

Masih adakah ‘Peluang Kedua’ untuk banduan bilik akhir?

Pengarah filem Mohammad Alshatri menceritakan perihal filem terbarunya, 'Peluang Kedua' dan peranan hukuman mati dalam masyarakat.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Pengarah Filem Mohammad Alshatri bercakap dalam sebuah forum ketika tayangan 'Peluang Kedua' di Freedom Film Festival pada 11 September. Gambar: Twitter
Pengarah Filem Mohammad Alshatri bercakap dalam sebuah forum ketika tayangan 'Peluang Kedua' di Freedom Film Festival pada 11 September. Gambar: Twitter

Seorang pengarah filem, Mohammad Alshatri percaya sejauh mana efisien dan telus sistem kehakiman serta perundangan, institusi itu tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dalam mengendalikan perbicaraan kes-kes di mahkamah.  

Dengan kepercayaan itu, ia mendorong Mohammad untuk menghasilkan sebuah filem berkisahkan tentang hukuman mati yang disifatkannya sebagai sesuatu yang tidak boleh diundur semula daripada seseorang tertuduh yang disabit kesalahan.

“Sekiranya kalau ada orang didapati tidak bersalah, contohnya terdapat bukti atau sebagainya. Bagaimana (sistem kehakiman) nak tarik balik hukuman itu?

“Lagi burukkan keadaan, bagaimana kalau individu itu sudah pun digantung mati?” katanya kepada MalaysiaNow dalam satu temubual baru-baru ini.

Menerusi filemnya, Peluang Kedua memaparkan dua kisah yang terkait dengan hukuman mati. 

Kisah pertama menceritakan cabaran emosi dan kesusahan sebuah keluarga berulang-alik ke Singapura dari Malaysia untuk melawat ahli keluarga yang dijatuhkan hukuman mati di republik itu.

Kisah kedua pula, Mohammad cuba untuk membawa perspektif daripada bekas banduan akhir bernama Rizwan, yang menerima hukuman mati di penjara Malaysia kerana membunuh. 

Rizwan dianugerahkan pengampunan limpah sultan selepas lebih sedekad menjalani hukuman penjara.

“Filem ini juga nak bawa satu sudut pandang kepada sistem kehakiman tidak kira di Malaysia atau Singapura yang terlalu bersifat menghukum. Tiada ruang sedikit pun diberikan untuk rehabilitasi.

“Juga, ketidaktentuan sekiranya orang itu dihukum gantung tapi belum digantung. Ahli keluarga banyak tertekan daripada segi emosi. Mereka sedaya upaya usaha untuk pastikan bukan sahaja dapat dibebaskan, tetapi selamat dalam tahanan.”

Tambahnya, begitu juga dengan Rizwan, bekas banduan akhir itu juga bersetuju untuk bersama dalam filem ini bagi menunjukkan sesiapa sahaja yang diberikan peluang kedua dan mempunyai sokongan yang betul boleh membaiki kualiti hidup ke arah yang lebih baik.

Sebelum ini, Singapura menerima kecaman dan kritikan daripada organisasi dunia atas pelaksanaan hukuman mati secara mandatori bagi kesalahan berkaitan dadah adalah bertentangan dengan piawaian dan undang-undang hak asasi antarabangsa.

Manakala, pada Jun, kerajaan Malaysia bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

“Peluang Kedua” merupakan salah satu filem yang diterbitkan oleh Freedom Film Network dan ditayangkan di Festival Freedom Film (FFF) pada 11 September 2022.

Mengulas lanjut, Mohammad berkata dia menjalankan beberapa kajian termasuk menemubual peguam, aktivis dan merujuk kepada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) seperti Anti Death Penalty Asia Networking (ADPAN) bagi mendapatkan informasi mengenai hukuman tersebut.

Dia tidak bersetuju sekiranya mana-mana kerajaan dalam dunia dibenarkan menamatkan nyawa seseorang. 

Dia berkata, dengan mengurangkan elemen keganasan dalam sistem kehakiman, hukuman mati perlu dibatalkan sebagai simbol menolak keganasan.

“Barulah Malaysia boleh menjadi masyarakat yang tak guna kekerasan.

“Kenapa di Malaysia, walaupun ada hukuman mati masih ada yang membunuh dan jual dadah? Bukan kepada hukuman semata-mata tetapi ekonomi dan persoalan-persoalan lain. 

“Banyak lagi faktor lain selain daripada menghukum.”