- Iklan -
Berita

Mahkamah benarkan Shafee pinda tarikh pelepasan pasport ke Australia

Peguam Najib Razak itu memohon untuk meminda tarikh pelepasan pasport kepada 15 hingga 19 September 2022.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Peguam Muhammad Shafee Abdullah.
Peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan peguam Muhammad Shafee Abdullah untuk meminda tarikh pelepasan pasport bagi membolehkannya menghadiri mesyuarat perundangan di Australia dengan peguam kanan dari United Kingdom.

Shafee memohon untuk meminda tarikh pelepasan sementara pasportnya itu kepada 15 hingga 19 September 2022. Tarikh sebelum ini ialah 6 hingga 12 September 2022.

Hakim Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan Shafee itu selepas timbalan pendakwa raya Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah permohonan tersebut.

Terdahulu, peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Shafee berkata pihaknya memohon untuk meminda tarikh pelepasan sementara pasport anak guamnya dari 6-12 September 2022 kepada 15-19 September 2022 dan dipulangkan semula kepada mahkamah pada 22 September.

"Tan Sri Muhammad Shafee perlu menangguhkan penerbangannya ke Australia kerana peguam kanan Geoffrey Robertson memerlukan sedikit masa untuk memahami dan menghalusi dokumen sebelum beliau bersedia untuk memberi nasihat serta cadangan kepada Tan Sri,” katanya.

Shafee, 70, peguam utama kepada bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyerahkan pasportnya kepada mahkamah pada September 2018 selepas beliau sendiri didakwa di mahkamah.

Permohonan bagi pelepasan sementara pasportnya untuk ke luar negara beberapa kali sebelum ini juga dibenarkan mahkamah.

Shafee didakwa atas dua pertuduhan menerima RM9.5 juta yang merupakan hasil aktiviti haram melalui dua cek yang dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Pada 12 Mei lepas, pihak pendakwaan menutup kes berkenaan selepas memanggil lapan saksi pada perbicaraan yang bermula 21 Mei 2021 dan hujahan lisan ditetapkan pada 15 September.