- Iklan -
Berita

Hubungan lebih mesra Malaysia-Rusia tak mungkin berlaku, kata pakar

Jumlah dagangan Malaysia dengan Rusia sangat kecil sementara kepentingan geopolitiknya berbeza berbanding negara Asean lain.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Pesawat Sukhoi dari Rusia membuat penerbangan formasi pada sambutan Hari Kebangsaaan baru- baru ini di Kuala Lumpur.
Pesawat Sukhoi dari Rusia membuat penerbangan formasi pada sambutan Hari Kebangsaaan baru- baru ini di Kuala Lumpur.

Ketika beberapa negara di Asia Tenggara menunjukkan tanda-tanda akan terus mengukuhkan hubungan erat dengan Rusia sewaktu perubahan suasana geopolitik dalam respons terhadap tindakan pencerobohan di Ukraine, namun Malaysia masih tidak mengambil pendiriannya sama ada akan turut sama berbuat demikian.

Berhubung perkara itu, seorang pakar berkata senario sedemikian tidak mungkin berlaku, memandangkan kepentingan geopolitik Malaysia berbeza daripada Vietnam, Myanmar dan Thailand – yang semuanya dilihat semakin mesra Rusia.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Thomas Daniel dari Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis) Malaysia memberikan contoh Vietnam dan Myanmar di mana kedua-dua negara sangat bergantung kepada Rusia bagi persenjataan dan aset ketenteraan.

“Rusia adalah pembekal senjata utama di kedua-dua negara itu. Barat mungkin akan mengecualikan sekatan ke atas Vietnam supaya negara itu boleh terus membeli atau menaik taraf aset ketenteraannya dari Rusia.

"Vietnam adalah faktor besar dalam persaingan geopolitik di Laut China Selatan. Mereka tidak boleh mengendahkan Vietnam," katanya.

Senjata tentera Vietnam sebahagian besarnya terdiri daripada aset Rusia sejak Perang Vietnam.

Negara itu mempunyai enam kapal selam kelas kilo buatan Rusia, 80 jet pejuang Sukhoi dan artileri buatan Rusia.

Sementara itu, di Myanmar pula, Moscow kekal menjadi salah satu negara sekutunya ketika kerajaan junta tentera ketika ini meningkatkan tindakan keras terhadap aktivis di negara itu.

Setakat ini, negara-negara Asean dilihat keberatan untuk turut menyertai seruan diketuai Barat dalam mengecam pencerobohan pemimpin Rusia Vladimir Putin ke atas Ukraine.

Hanya Singapura sahaja yang secara jelas mengecam pencerobohan Rusia dan selain turut mengenakan sekatan terhadap negara itu.

Sementara Malaysia mengambil pendirian untuk menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam mengecam pencerobohan tersebut, namun tidak mengambil tindakan dengan membuat sekatan serupa.

Thomas berkata walaupun Malaysia turut membeli beberapa kelengkapan tentera dari Rusia, namun bilangannya tidak begitu ketara seperti Vietnam atau Myanmar.

Sebelum ini, negara membeli 18 MIG-29N dan 18 Sukhoi SU-30MKM.

Sukhoi merupakan pesawat tempur utama yang Tentera Udara Malaysia (TUDM).

Selain itu, jumlah dagangan Malaysia dengan Rusia juga “tidak begitu banyak”, kata Thomas, di mana ia merangkumi hanya 0.33% daripada jumlah keseluruhan eksport dan 0.5% daripada jumlah import.

“Satu lagi perkara ialah, syarikat Malaysia banyak melakukan dagangan di pasaran antarabangsa dan mereka sangat sensitif berhubung tindakan sekatan.

“Kebanyakan syarikat di negara ini tidak membuat dagangan dengan Rusia," katanya.

Berbeza dengan Thailand, jiran Malaysia yang banyak bergantung dengan sektor pelancongan sebagai pemacu utama ekonominya menjangka ketibaan kira-kira sejuta pelancong dari Rusia susulan penerbangan secara terus antara kedua-dua negara disambung semula.

Penerbangan antara kedua-duanya dihentikan selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada Mac lalu.

Dalam tinjauan baru-baru ini, Malaysia adalah satu-satunya negara yang mempunyai pandangan yang baik terhadap Putin, dengan kadar skor sebanyak 58%.

Bagaimanapun, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata pendirian Malaysia tentang usaha membentuk hubungan yang lebih baik dengan Rusia bergantung kepada tahap interaksi ekonomi antara kedua-dua negara.

"Malaysia adalah sebuah negara yang sangat bergantung dengan perdagangan dan pelaburan asing. Jika masalah ekonomi kita bertambah buruk dan pelabur tradisional Barat tidak dapat atau tidak mahu melabur lebih banyak, atau tidak lagi memberi kita akses pasaran bebas tarif atau tarif rendah, sementara Rusia bersedia untuk berbuat demikian sama seperti apa dilakukan negara Barat, maka orientasi kita untuk tumpu kepada Rusia mungkin boleh berlaku.

"Bola berada di gelanggang yang dikuasai Rusia," katanya.

Salah satu contoh peristiwa sebegitu berlaku pada awal tahun ini, apabila kapal Rusia yang berada di bawah sekatan tidak dibenarkan masuk ke pelabuhan di Kuala Linggi pada Mac.

Sementara itu, di sektor pertahanan, Thomas berkata Malaysia tidak mungkin meneruskan pembelian peralatan dari Rusia walaupun ditawarkan untuk menggantikan pesawat pejuang MIG dengan model yang lebih terkini.

"Mungkin menjadi masalah bagi Malaysia untuk menaik taraf atau membeli lebih banyak aset dari Rusia. Akta Countering America's Adversaries Through Sanctions (CAATSA) sedia ada menghentikan Malaysia daripada mempertimbangkan untuk mendapatkan lebih banyak pesawat Rusia," katanya.

Beliau menambah Malaysia tidak akan mendapat pengecualian daripada sekatan AS, tidak seperti apa yang berlaku di India atau Vietnam.

CAATSA dilaporkan menjadi salah satu sebab Indonesia menolak pembelian jet Rusia yang baru, sebaliknya memilih pesawat tempur udara Perancis dan Amerika tahun lalu.