- Iklan -
Berita

Najib masuk HKL kerana kes bukan kecemasan, kata KP kesihatan

Dr Noor Hisham berkata Najib dibawa ke hospital pada 9 September dan sudah dibenarkan pulang dalam keadaan sihat.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak melambaikan rangan kepada pemberita di Istana Kehakiman Putrajaya pada 23 Ogos lalu di mana beliau dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman.
Bekas perdana menteri Najib Razak melambaikan rangan kepada pemberita di Istana Kehakiman Putrajaya pada 23 Ogos lalu di mana beliau dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengesahkan bekas perdana menteri Najib Razak dalam keadaan sihat selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) Jumaat lalu.

Dalam sebuah kenyataan, Noor Hisham berkata pemeriksaan dan ujian berkaitan dijalankan oleh pakar-pakar yang terdiri daripada ketua-ketua perkhidmatan klinikal bagi bidang masing-masing.

“Najib dimasukkan ke HKL pada Jumaat, 9 September sebagai kes elektif (bukan kecemasan) untuk memastikan kesihatan beliau berada pada tahap yang baik dan optimum.

“Keadaan beliau juga sihat sebelum dibenarkan discaj dari HKL,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pihak HKL turut mengadakan sidang keluarga yang dihadiri bekas perdana menteri itu dan ahli keluarganya dan dimaklumkan mengenai keputusan sebulat suara pakar-pakar perunding agar Najib dibenarkan keluar.

“Dimaklumkan juga bahawa jenis-jenis ubat yang dipreskrib semasa kemasukan wad adalah yang sama jenisnya dan dalam senarai ubatan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia).

“KKM komited dan telus dalam pemberian perkhidmatan kesihatan kepada mana-mana individu, namun pada masa yang sama mempunyai tanggungjawab mematuhi tata etika kerahsiaan pesakit di bawah Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

“Sebarang maklumat terperinci mengenai kesihatan seseorang pesakit boleh dikemukakan kepada mahkamah sekiranya diarahkan mahkamah,” katanya.

Pagi tadi, prosiding kes Najib bagi pertuduhan menyelewengkan RM2.3 bilion dana 1MDB disingkatkan selepas mahkamah dimaklumkan keadaan kesihatan Najib “agak teruk”.

Hakim Collin Lawrence Sequerah bersetuju untuk menangguhkan perbicaraan pada pukul 12.30 tengah hari bagi membolehkan Najib mendapatkan rawatan.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Pada 23 Ogos, Najib dihantar ke Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya kerana menyalahgunakan dana SRC International berjumlah RM42 juta.