- Iklan -
Berita

Khairy akan bincang isu Parlimen Rembau secara tertutup

Perbincangan itu akan diadakan susulan kenyataan timbalan presiden Umno yang masih belum membuat keputusan kerusi Parlimen yang akan ditandinginya.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media di Kuala Lumpur semalam. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media di Kuala Lumpur semalam. Gambar: Bernama

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata beliau akan adakan perbincangan bersama Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan secara tertutup mengenai siapa yang akan bertanding kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15  (PRU15).

Mohamad semalam dilaporkan berkata yang beliau memang mahu bertanding kerusi parlimen pada PRU15, tetapi masih belum buat keputusan kerusi mana yang akan ditandingi.

Beliau berkata sebagai timbalan presiden Umno, memang ia bergantung kepadanya mengenai kerusi mana yang beliau akan bertanding, tetapi beliau tidak pernah bercakap untuk bertanding di kerusi mana, dan perkara itu bukanlah menjadi keutamaannya.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat menambah, apa yang menjadi keutamaan parti pada masa ini ialah persediaan dan memperkuatkan jentera di seluruh bahagian sebelum membuat keputusan mengenai pengagihan kerusi dan calon.

Khairy sebelum ini dilaporkan sebagai berkata beliau telah diminta untuk mengosongkan kerusi itu oleh Mohamad yang mahu bertanding di kerusinya itu.

“Saya telah katakan apa yang saya mahu cakapkan. Saya tidak akan bincangkan perkara ini secara terbuka lagi,” katanya.

Khairy berkata demikian di Majlis Pelancaran Panduan Amalan Klinikal (CPG) Pengurusan Demensia (Edisi Ketiga) dan Pengurusan Schizophrenia (Edisi Kedua) di sebuah hotel semalam.

Beliau berkata apa yang beliau katakan sebelum ini adalah yang sebenarnya tetapi merasakan biarlah perkara itu diselesaikan secara tertutup.