- Iklan -
Berita

Kes baru Covid-19 terus menurun

Bilangan kematian juga menurun sebanyak 27.7% kepada 34 kes dalam seminggu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Penumpang LRT memakai pelitup muka bagi mengelak jangkitan Covid-19 menatal telefon pintar mereka di Kuala Lumpur.
Penumpang LRT memakai pelitup muka bagi mengelak jangkitan Covid-19 menatal telefon pintar mereka di Kuala Lumpur.

Bilangan kes baru Covid-19 di Malaysia terus menunjukkan penurunan dan semalam (Ahad) sebanyak 1,483 kes dilaporkan berbanding 1,971 kes pada Sabtu.

Keadaan sama turut dilihat dalam tempoh seminggu apabila jangkitan Covid-19 menunjukkan penurunan bilangan kes dengan mencatat 14,072 kes pada minggu epidemiologi ke-36 iaitu dari 4 hingga 10 September berbanding 15,530 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata bilangan kes kematian dalam tempoh itu pula menurun sebanyak 27.7% iaitu dari 47 kes kepada 34 kes dalam tempoh sama. 

“Purata kes aktif setiap hari bagi tempoh itu adalah 27,503 iaitu terdapat penurunan sebanyak 12.2% berbanding minggu sebelumnya,” katanya dalam kenyataan berkaitan situasi semasa jangkitan Covid-19, hari ini.

Sementara itu, bagi kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan (hospital dan pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC) awam) bagi setiap 100,000 penduduk untuk Kategori Satu dan Dua meningkat sebanyak 3.4% manakala pesakit Kategori Tiga, Empat dan Lima menurun sebanyak 3.7%.

Dr Noor Hisham berkata pengisian katil unit rawatan rapi (ICU) menurun sebanyak 1% manakala peratusan pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan menurun 0.2% pada tempoh itu berbanding minggu sebelumnya.

Beliau berkata kes-kes positif Covid-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara juga menunjukkan penurunan.

“Bilangan kedatangan pesakit ke CAC menurun sebanyak 15.8%, kes baru yang menjalani pemantauan di rumah turun 11.0% manakala bilangan kes yang dirujuk CAC ke hospital turun 1.9%,” katanya.

Beliau berkata hasil survelan Covid-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati 124 sampel Penyakit Seperti Influenza (ILI) dikesan positif Covid-19.