- Iklan -
Berita

Bagaimana Jabatan Penjara bantu proses pemulihan banduan

Jabatan itu menjawab persoalan mengenai keberkesanan program pemulihannya.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi
Sekumpulan banduan kesalahan dadah berlatih untuk pertandingan nyanyian yang disertai banduan di seluruh negara.
Sekumpulan banduan kesalahan dadah berlatih untuk pertandingan nyanyian yang disertai banduan di seluruh negara.

Wan (bukan nama sebenar) menghabiskan hampir seluruh masanya bermain dengan tanah liat dalam sebuah bengkel seramik di tepi rumah kakaknya di Kuantan, Pahang. 

Selepas diberi pengampunan limpahan sultan pada tahun 2009, Wan bebas daripada menjalani hukuman gantung sampai mati selepas terlibat dengan satu kes pembunuhan pada usia 16 tahun. 

Pemuda itu menjalani hukuman lebih sedekad di beberapa penjara di Malaysia sehingga dibebaskan pada usia 31 tahun. 

Bercakap kepada MalaysiaNow, kakak Wan berkata adiknya tidak lagi bergaul dengan ramai orang sebaliknya menyibukkan diri membuat kerja seramik di bengkel kecil itu. 

Sementara menurut Wan, keadaannya baik-baik sahaja dan selesa menjalani kehidupan bersendirian.

Sehingga kini, dia masih belum percaya dirinya boleh bebas menikmati kehidupan selepas pernah bergelar banduan bilik akhir. 

Ada kalanya, dia rindu suasana di dalam penjara. 

Menurut Wan, dia banyak menuntut ilmu-ilmu kemahiran seperti memasak dan bertukang selain membuat seramik menggunakan tanah liat

Tambahnya, penjara amat membantunya dalam mempersiapkan diri dalam pelbagai aspek terutamanya mental dan rohani. 

"Saya dijaga oleh pihak polis dan peguam sampai selesai perbicaraan. Masa tu masih budak remaja. 

"Lepas jatuh hukuman, pegawai-pegawai penjaralah yang menjaga saya. Saya amat bersyukur berjumpa dengan pegawai yang baik-baik sepanjang menjalani hukuman," katanya kepada MalaysiaNow.  

Di Malaysia, penjara menjadi satu institusi yang paling digeruni kepada pesalah-pesalah jenayah yang dibicarakan di mahkamah.

Penjara menjadi tempat mereka yang disabit kesalahan akan menjalani hukuman masing-masing seperti yang ditetapkan mahkamah. 

Bagaimanapun, seringkali timbul persoalan dan andaian mengatakan program-program penjara tidak membantu negara memulihkan modal insan atas dakwaan ramai banduan akhirnya akan kembali ke penjara semula. 

Perkembangan itu membawa satu petanda. 

Mampukah penjara mengubah perangai dan sikap penghuninya? 

Bagaimanapun, Timbalan Pengarah Bahagian Dasar Kepenjaraan (BDK) Kausalya Devi Sathoo menafikan andaian tersebut. 

Katanya, statistik Jabatan Penjara menunjukkan sebanyak 85% bekas banduan berjaya menjalani kehidupan tanpa jenayah selepas dibebaskan oleh dari penjara. 

"Kemasukan kembali ke penjara selepas dibebaskan sebanyak 15.8% iaitu secara kasarnya, dalam 100 orang yang dibebaskan 85 berjaya berada dalam masyarakat tanpa pengulangan tingkah laku jenayah. 

"Tapi inilah masalah kita, kita pertikaikan kepada 15 itu sahaja tanpa mengambil kira peratus kejayaan yang besar.

"Manakala bagi mereka yang menjalani perintah parol sebanyak 96.6% peratus berjaya kembali semula dalam masyarakat," katanya. 

Sebelum ini, penjara disifatkan oleh segelintir badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis sebagai pusat yang mencetuskan "kegilaan" kerana banduan didakwa dihimpit tekanan selain berdepan pelbagai kesukaran dan ketidakselesaan. 

Mengulas lanjut, Kausalya berkata para pegawai dan kakitangan sudah dilatih secara profesional untuk menjaga dan membantu para penghuni untuk mendapatkan kehidupan yang lebih berkualiti. 

Atas sebab itu, katanya, Jabatan Penjara mengutamakan tiga elemen penting dalam mengendalikan Program Pembangunan Insan yang dikendalikan oleh pegawai-pegawai lantikan khas bagi memulihkan banduan. 

Ini termasuk fokus kepada perubahan sikap, kemahiran dan pengetahuan. 

"Modul-modul yang dibentuk dan dibangunkan oleh pegawai-pegawai berpengalaman dari Jabatan Penjara dengan kerjasama ahli-ahli akademik dari universiti awam. 

"Ianya diiktiraf oleh pihak akademik secara teoritikal dan dilaksanakan oleh pegawai untuk membentuk program tersebut mengikut kategori jenayah dan kesalahan. Contohnya kesalahan jenayah, dadah, kolar putih, seksual dan sebagainya," katanya dalam satu pertemuan dengan MalaysiaNow di Ibu Pejabat Penjara, Kajang baru-baru ini. 

Apa program kegemaran banduan? 

Bercakap lebih lanjut, Kausalya berkata terdapat pelbagai latar belakang kehidupan penghuni-penghuni penjara di seluruh negara. 

Katanya, terdapat yang memiliki latar pendidikan rendah setaraf Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bahkan ada juga yang tidak pernah mendaftarkan diri ke sekolah sepanjang hidupnya. 

Menurut Kausalya, setiap pesalah yang dihantar ke penjara akan melalui proses saringan untuk mengenal pasti tahap penguasaan pengetahuan, kemahiran dan kesihatan masing-masing sebelum ditetapkan jenis program yang bakal mereka ikuti di penjara. 

Dengan cara itu, katanya, program-program tersebut dapat mengisi kelompongan yang ada pada aspek kehidupan penghuni penjara. 

"Setakat ini, para penghuni penjara tidak timbulkan masalah sangat. Mereka akur dan ikut serta program yang ada. 

"Sebab mereka tahu, penjara bukan tempat untuk menghukum mereka sebaliknya membantu mereka kembali menjadi insan yang produktif. 

“Kalau sudah baik, jadi semakin baik." 

Mengikut modul program Pembangunan Insan yang disediakan oleh Jabatan Penjara, terdapat beberapa bab yang akan diikuti oleh banduan sepanjang mengikut tempoh hukuman. 

Antaranya, submodul Muhasabah Diri, Kekeluargaan, Moral, Akhlak, Kenegaraan dan sebagainya. 

Banduan jadi rebutan 

Mengulas lanjut, Kausalya berkata program-program pemulihan yang disediakan oleh institusi itu diberikan secara terbaik. 

Bagaimanapun, usaha selebihnya tetap bergantung kepada individu tersebut. 

"Itu adalah pilihan mereka walaupun sudah melalui pelbagai tahap dan proses. 

"Ada orang masuk 10 tahun masih ulangi lagi. Ada juga pesalah yang masuk 10 hari sudah insaf sepenuhnya."

Selain itu, program-program yang disediakan oleh penjara turut menekankan kepada kemahiran dan pengetahuan banduan supaya dapat memberikan mereka peluang mendapatkan pekerjaan selepas dibebaskan. 

Bagaimanapun, kata Kausalya, banduan-banduan ini sudah pun menjadi rebutan oleh beberapa syarikat ternama untuk bekerja di kilang-kilang sehingga satu tahap, penjara berusaha gigih untuk memenuhi keperluan dan jumlah yang diminta. 

"Dulu, kita pernah nampak banyak keluarga tidak boleh terima bekas banduan kerana fikir anak mereka jahat. 

"Tapi sekarang, anak masuk penjara dapat gaji dan upah bagi membantu serta menyumbang kepada ekonomi keluarga. 

“Sebelum keluar (bebas) mereka sudah tunggu anak-anak dan boleh terima mereka. 

"Inilah antara pengisian dan program yang kita bekalkan kepada mereka untuk pastikan mereka boleh jalani hidup dan berjaya di masa akan datang."